Satu rakaman video memaparkan tindakan agresif seorang lelaki memukul seorang wanita di tempat awam kini tular di media sosial, sehingga mencetuskan keberangan netizen.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Melaka Tengah itu memaparkan suspek yang memakai topi keledar dan berbaju merah bertindak di luar kawalan dengan menumbuk, menampar, serta menyepak mangsa di hadapan sebuah premis perniagaan.
Dalam klip berdurasi 56 saat itu, mangsa dilihat terjatuh ke lantai akibat dikasari berkali-kali oleh lelaki tersebut.
Susulan penyebaran video itu, tular juga mesej di aplikasi WhatsApp yang mendakwa kejadian berlaku di kawasan Duyong dan suspek dikatakan kerap melakukan keganasan terhadap isterinya.
Mesej tersebut turut menggesa orang ramai supaya menularkan identiti lelaki berkenaan agar tindakan segera dapat diambil.
"Ejas viral cari sampai jumpa, pukul bini sendiri bukan sekali dah banyak kali... Area Duyong. Tolong repost ramai-ramai," petik pesanan yang tersebar bersama video tersebut.
Walau bagaimanapun, lokasi sebenar dan punca kejadian masih belum dapat dipastikan secara rasmi.
Setakat laporan ini ditulis, pihak polis Melaka masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau mengesahkan sama ada laporan polis telah dibuat oleh mangsa atau saksi kejadian.
