Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
60 tahun DAP: Parti tiup semangat 'Malaysia untuk Rakyat Malaysia'
Diterbitkan:  Mar 18, 2026 12:12 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

DAP hari ini menyambut ulang tahun ke-60 pendaftarannya ketika rasa tidak puas hati semakin memuncak di kalangan penyokong berhubung peranannya di dalam kerajaan.

Bagaimanapun, Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata hari ini sepatutnya menjadi detik pembaharuan kepada matlamat DAP untuk membina sebuah negara yang bersatu padu.

Gobind Singh Deo

"Kami membayangkan sebuah negara yang makmur dan berpaksikan integriti, dengan pertumbuhan dikongsi bersama, peluang boleh dicapai, dan kepercayaan awam terhadap institusi terus diperkukuh," katanya dalam satu kenyataan.

"Kepada setiap ahli, pemimpin akar umbi kami, dan anda semua yang telah teguh bersama kami, komitmen, suara, dan sumbangan anda telah mengekalkan hayat kami.

"Sambil kita menandakan mercu jaya ini, biarlah ia menjadi pembaharuan kepada azam kita. Marilah kita terus mara dengan matlamat utama kita, iaitu membina sebuah Malaysia yang bersatu, kuat, dan berjaya," tambahnya.

Mengenai peranan parti itu dalam kerajaan, Menteri Digital itu berkata peranan DAP bukan sekadar memegang jawatan, tetapi untuk memberikan reformasi bermakna yang bermanfaat kepada semua.

Dalam satu kenyataan hari ini, DAP memaklumkan tema sambutan ulang tahun ke-60 mereka adalah "Malaysia untuk Rakyat Malaysia".

Menurut parti itu, tema tersebut membawa dua mesej utama; pertama adalah komitmen terhadap perjuangan asas parti sebagai sebuah parti untuk golongan miskin, melindungi pekerja, peniaga kecil, penjaja, dan kumpulan terpinggir.

Mesej kedua adalah agar prinsip memperjuangkan rakyat Malaysia menjadi kompas dalam pembinaan negara.

Mesej daripada DAP dan Gobind ini hadir 116 hari sebelum DAP dijadualkan mengadakan persidangan nasionalnya, dengan para perwakilan akan memutuskan sama ada parti itu akan terus kekal dalam kerajaan atau sebaliknya.

Selepas mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya Sabah pada November lalu, DAP telah mendesak Putrajaya untuk mempercepatkan agenda reformasinya.

Kepimpinan tertinggi parti itu juga kini lebih vokal mengenai skandal awam, seperti mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan bahawa SPRM bersubahat dengan individu persendirian untuk memeras pesaing perniagaan.

DAP juga sedang bergelut dengan ketegangan kaum yang kian meningkat di negara ini apabila kumpulan Melayu konservatif dan penganut Hindu semakin resah sesama sendiri berhubung isu kuil tanpa kebenaran dan hasutan agama.

Tema "Malaysia untuk Rakyat Malaysia" serta mesej Gobind mengenai pembinaan Malaysia yang bersatu berkemungkinan akan mengundang kritikan daripada Umno dan PAS, memandangkan ia menyamai visi "Malaysian Malaysia" yang sering dikecam hebat oleh kelompok sayap kanan Melayu sebagai usaha untuk menggugat kedudukan bumiputera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS