Beberapa pemimpin Melayu DAP menegaskan mereka tidak bersetuju dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran bersama aktivis Arun Doraisamy di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, semalam.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyifatkan tindakan itu tidak sesuai memandangkan status Kulasegaran sebagai seorang timbalan menteri.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
“Kami terpanggil untuk menyatakan bahawa kami sama sekali tidak bersetuju dengan kehadiran YB Kulasegaran di mahkamah berjumpa dengan Arun Doraisamy sewaktu didakwa di Mahkamah, lebih-lebih lagi beliau sedang menggalas kapasiti sebagai seorang timbalan menteri Kerajaan Madani.
"Tindakan tersebut telah mengundang polemik awam mengenai integriti sistem perundangan negara,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Semalam Kulasegaran menerima kecaman apabila dia dilihat hadir di mahkamah bagi memberi sokongan kepada Arun Dorasamy yang didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun Kulasegaran berkata dia hanya singgah di Mahkamah Majistret itu ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
"Saya mengenali Arun sejak saya mewakili M Indira Gandhi dalam cabaran undang-undangnya berkaitan anak-anaknya.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya hanya bertemu Arun sebentar di sekitar kompleks mahkamah sebelum beredar.
“Saya tidak hadir di bilik mahkamah ketika pertuduhan dibacakan dan prosiding dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, empat pemimpin Melayu DAP itu berkata mereka mengambil maklum tentang penjelasan Kulasegaran dalam isu berkenaan namun menegaskan kedudukannya dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi terhadap persepsi awam.
"Ini khususnya berkaitan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan," tegas mereka.
Mereka juga menegaskan bahawa kehadiran timbalan menteri itu di mahkamah semalam tidak mewakili pendirian rasmi parti.
"Kami juga ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang keputusan parti untuk menyatakan sebarang kecenderungan terhadap isu ini. Justeru, apa juga tindakan solidariti terhadap Arun Doraisamy tidak mewakili pendirian DAP.
"Dalam hal ini, kami berpendirian bahawa DAP harus mengambil pendekatan jalan tengah iaitu mempertahankan prinsip keadilan dan “innocent until proven guilty” serta keabsahan proses undang-undang, pada masa yang sama mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau keberpihakan," kata mereka.
