Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri Sabtu
Diterbitkan:  Mar 19, 2026 8:10 PM
Dikemaskini: 12:54 PM

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Sabtu, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad malam ini.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia adalah ditetapkan pada hari Sabtu, 21 Mac 2026," katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan.

Sebelum ini Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata cuti tambahan akan diawalkan pada hari Jumaat 20 Mac sekiranya 1 Syawal jatuh pada hari Sabtu.

Sementara itu, umat Islam di Singapura turut menyambut Aidilfitri pada 21 Mac.

Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir, berkata anak bulan Syawal berada terlalu rendah di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak dapat dilihat, lapor Beritaharian.sg.

Menurutnya keputusan dibuat berdasarkan syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS