Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih 20 negara mahu pastikan laluan selamat di Selat Hormuz
Diterbitkan:  Mar 22, 2026 10:31 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Lebih 20 negara menyatakan kesediaan mereka untuk menyumbang dalam usaha memastikan laluan selamat di Selat Hormuz, sambil mengecam tindakan Iran yang menutup laluan air penting itu.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu oleh Iran terhadap kapal komersial tidak bersenjata di Teluk, serangan ke atas infrastruktur awam termasuk pemasangan minyak dan gas, serta penutupan de facto Selat Hormuz oleh tentera Iran," kata 22 negara tersebut yang dipetik oleh AFP.

"Kami menyatakan kesediaan untuk menyumbang kepada usaha sewajarnya bagi memastikan laluan selamat melalui selat itu. Kami menyambut baik komitmen negara-negara yang sedang terlibat dalam perancangan awal," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Negara terlibat ialah United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Jepun, Kanada, Republik Korea, New Zealand, Denmark, Latvia, Slovenia, Estonia, Norway, Sweden, Finland, Czechia, Romania, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Lithuania dan Australia.

Selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Feb, Tehran membalas dengan serangan ke atas jiran Teluknya, serta ke atas kapal-kapal di selat tersebut.

Dari 1 hingga 19 Mac, kapal pengangkut komoditi hanya melakukan 116 lintasan menurut firma analitik Kpler – penurunan sebanyak 95 peratus daripada purata waktu aman.

Sekatan de facto Iran di Selat Hormuz, yang lazimnya menjadi laluan bagi 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia, serta pelbagai serangan ke atas infrastruktur minyak dan gas di Asia Barat mengakibatkan harga tenaga melambung tinggi.

"Kami menggesa moratorium komprehensif segera ke atas serangan terhadap infrastruktur awam, termasuk pemasangan minyak dan gas," tambah negara-negara tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS