Ketua Menteri Chow Kon Yeow akan menyediakan laporan terperinci mengenai pelaksanaan kadar cukai tanah baharu di Pulau Pinang untuk diserahkan kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Langkah itu susulan mesyuarat tiga pihak yang diaturkan oleh Loke bagi membincangkan isu kenaikan kadar cukai berkenaan yang mula berkuat kuasa di negeri itu pada 1 Januari 2026.
"Saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada Loke kerana sudi mengaturkan mesyuarat melibatkan tiga pihak bagi membincangkan isu kenaikan kadar cukai tanah di Pulau Pinang," kata Chow dalam satu kenyataan hari ini.
Chow turut menyatakan persetujuan untuk mematuhi arahan Loke supaya tidak lagi mengulas isu tersebut secara terbuka melalui media.
Menurutnya, tindakan itu bagi mengelakkan persepsi serta kesan negatif kepada DAP, barisan kepimpinan, dan kerajaan negeri secara keseluruhan.
“Dalam pada itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk terus menyeru kepada pemilik-pemilik tanah yang terkesan untuk terus mengemukakan rayuan ke pejabat-pejabat Daerah dan Tanah dalam negeri, serta pejabat Pengarah Tanah dan Galian di Komtar,” katanya.

Semalam, Loke yang juga menteri pengangkutan dilaporkan berkata, dia akan mengatur pertemuan antara Chow dengan Lim yang juga adalah penasihat DAP dan bekas ketua menteri Pulau Pinang bagi menyelesaikan pertikaian berterusan mengenai kadar cukai tanah baharu di negeri itu.
Loke menyifatkan pertelingkahan awam itu sebagai sesuatu yang tidak sihat dan tidak wajar untuk menyelesaikan perbezaan dalaman mengenai perkara dasar awam, sambil menyatakan ia berlaku pada waktu yang sangat sensitif di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang semakin meningkat.
Dia juga melabelkan pendekatan Lim sebagai "sangat tidak wajar."
Susulan teguran itu, Lim berkata dia akan menahan diri daripada membuat kenyataan awam yang mengkritik dasar cukai tanah kerajaan Pulau Pinang.
Katanya, dia menghargai peranan setiausaha agung DAP itu bagi mengadakan pertemuan tiga pihak antara Chow, Loke dan dirinya bagi mencari penyelesaian memuaskan terhadap isu kenaikan cukai tanah yang dalam beberapa kes, membabitkan kenaikan melebihi 3,000 kali ganda.

"Saya ingin memberi jaminan kepada pemilik tanah terjejas bahawa pejabat Parlimen saya di Bagan dan pejabat Adun saya di Air Putih, Pulau Pinang akan terus dibuka dan bersedia membantu mereka mengemukakan rayuan terhadap kenaikan cukai tanah, termasuk mengisi borang rayuan," kata Lim.
Tambahnya, setakat ini kedua-dua pejabatnya telah membantu sehingga 800 pemilik tanah.
Dalam satu kenyataan Jumaat lalu, Lim yang juga ahli parlimen Bagan mendakwa ramai pengundi Pulau Pinang tidak akan menyokong Chow sekiranya mereka mengetahui manifesto pilihan raya negeri 2023 kerajaan Madani membenarkan kenaikan mendadak kadar cukai tanah.
Bagi mempertahankan kritikannya terhadap Chow, Lim mengketengahkan kes di Batu Kawan — kawasan Parlimen Chow — termasuk sebuah kampung di Juru di mana cukai tanah bagi sebuah rumah didakwa meningkat daripada RM12 kepada lebih RM34,000, serta seorang lagi pemilik tanah yang mendakwa berdepan tekanan kewangan serius akibat kadar baharu itu.
Dalam kenyataan ringkas menjawab kritikan Lim, Chow berkata fokus kerajaan Pulau Pinang ketika ini adalah memberi ruang kepada pemilik tanah untuk mengemukakan rayuan.
Hubungan antara Lim dan Chow dilaporkan semakin tegang kebelakangan ini, dengan kedua-dua mereka bertelagah secara terbuka.
Walaupun Lim bersikap kritikal secara terbuka terhadap kepimpinan Chow, kenyataannya Jumaat lalu disifatkan sebagai serangan paling kerasnya terhadap penggantinya itu setakat ini.
