Penasihat DAP Lim Guan Eng berkata dia akan menahan diri daripada membuat kenyataan awam yang mengkritik dasar cukai tanah kerajaan Pulau Pinang, susulan teguran daripada setiausaha agung parti itu, Anthony Loke.
Melalui satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, Lim merakamkan penghargaan kepada Loke atas keprihatinan dan inisiatifnya mengadakan pertemuan tiga pihak antara Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Loke dan dirinya bagi mencari penyelesaian memuaskan terhadap isu kenaikan cukai tanah.
Lim mendakwa dalam beberapa kes, kenaikan tahun ini melebihi 3,000 kali ganda.
"Sejak kenaikan cukai tanah ini mula dicadangkan tahun lalu, saya telah menggunakan semua saluran dalaman bersama kerajaan negeri dan ketua menteri Pulau Pinang sebelum menyuarakan ketidaksetujuan secara terbuka.
"Sehingga pertemuan antara kami bertiga diadakan, saya tidak akan membuat sebarang kenyataan awam atau mengadakan sidang media bagi pihak pemilik tanah yang terjejas akibat kenaikan cukai tanah yang melampau ini.
"Saya ingin memberi jaminan kepada pemilik tanah terjejas bahawa pejabat Parlimen saya di Bagan dan pejabat Adun saya di Air Putih, Pulau Pinang akan terus dibuka dan bersedia membantu mereka mengemukakan rayuan terhadap kenaikan cukai tanah, termasuk mengisi borang rayuan," kata Lim.
Tambahnya, setakat ini kedua-dua pejabatnya telah membantu sehingga 800 pemilik tanah.
**Kritikan dibalas**
Terdahulu, Loke menegur Lim susulan kritikan berterusan terhadap Chow.
Katanya kepimpinan DAP “amat bimbang dan terganggu” dengan pertikaian terbuka yang berterusan antara bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dengan Chow berhubung kadar baru cukai tanah di negeri berkenaan.
Dia berkata satu pertemuan antara kedua-dua mereka juga akan diatur bagi menyelesaikan isu berbangkit secara baik.
Loke menyifatkan pertelingkahan terbuka itu sebagai cara yang tidak sihat dan tidak sesuai untuk menyelesaikan perbezaan dalaman berkaitan dasar awam, lebih-lebih lagi dalam keadaan sensitif ketika ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi semakin meningkat.
Dia turut menyifatkan pendekatan Lim sebagai “sangat tidak sesuai.”
Bagaimanapun, Loke menegaskan bahawa Chow sebagai ketua menteri tetap perlu memandang serius kebimbangan tersebut kerana ia melibatkan kepentingan awam dan mencerminkan rungutan pelbagai pihak berkepentingan.
Dalam satu kenyataan semalam, Lim yang juga ahli parlimen Bagan mendakwa ramai pengundi Pulau Pinang tidak akan menyokong Chow sekiranya mereka mengetahui manifesto pilihan raya negeri 2023 kerajaan Madani membenarkan kenaikan mendadak kadar cukai tanah.
Bagi mempertahankan kritikannya terhadap Chow, Lim mengetengahkan kes di Batu Kawan — kawasan Parlimen Chow — termasuk sebuah kampung di Juru di mana cukai tanah bagi sebuah rumah didakwa meningkat daripada RM12 kepada lebih RM34,000, serta seorang lagi pemilik tanah yang mendakwa berdepan tekanan kewangan serius akibat kadar baharu itu.
Dalam kenyataan ringkas menjawab kritikan Lim, Chow berkata fokus kerajaan Pulau Pinang ketika ini adalah memberi ruang kepada pemilik tanah untuk mengemukakan rayuan.
