Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iran: Selat Hormuz "terbuka" tetapi kapal takut lalui laluan
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 11:57 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Menteri Luar Iran pada Ahad berkata Selat Hormuz adalah terbuka, namun kapal takut untuk melalui laluan itu susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Tehran, lapor Anadolu Ajansi.

“Selat Hormuz tidak ditutup. Kapal teragak-agak kerana syarikat insurans takut terhadap perang pilihan yang kamu mulakan - bukan Iran,” kata Abbas Araghchi di platform media sosial X.

“Tiada syarikat insurans - dan tiada rakyat Iran - akan terkesan dengan lebih banyak ancaman. Cuba hormati,” tambahnya. “Kebebasan pelayaran tidak boleh wujud tanpa kebebasan perdagangan. Hormati kedua-duanya - atau jangan harapkan kedua-duanya.”

Abbas Araghchi

Dalam kenyataan berasingan di X, Kementerian Luar Iran turut menyatakan bahawa Selat Hormuz “tidak disekat”.

Namun, katanya, kapal yang “dimiliki pihak penceroboh tidak boleh dianggap sebagai laluan normal dan tidak bermusuhan, dan akan ditangani mengikut kerangka undang-undang yang terhasil daripada konflik serta keputusan dan tindakan pihak berkuasa Iran yang berkenaan”.

Sejak awal Mac, Iran dilaporkan telah menutup secara berkesan Selat Hormuz, laluan utama minyak yang biasanya mengendalikan kira-kira 20 juta tong sehari serta sekitar 20 peratus perdagangan gas asli cecair global, kepada kebanyakan kapal. Penutupan itu telah meningkatkan kos perkapalan dan insurans, menaikkan harga minyak, serta mencetuskan kebimbangan ekonomi global.

Pada Sabtu, Presiden AS Donald Trump mengancam untuk “memusnahkan” loji kuasa Iran, bermula dengan yang terbesar, jika Tehran tidak membuka laluan strategik itu dalam tempoh 48 jam.

Permusuhan di rantau itu semakin meningkat sejak serangan AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb, dengan Tehran bertindak balas melalui serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS