Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar rafak sembah tahniah hari keputeraan rasmi Sultan Johor
Diterbitkan:  Mar 23, 2026 12:38 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, dia turut menitipkan doa agar Sultan Ibrahim yang juga Yang di-Pertuan Agong dan seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

"Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM (Kebawah Duli Yang Maha Mulia) Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Yang di-Pertuan Agong pada 23 Mac 2026 bersamaan 3 Syawal 1447 Hijrah.

"Allah Peliharakan Sultan," kata Anwar.

Sementara itu, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail turut merafak sembah merakamkan ucapan dan doa bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini.

“Allah peliharakan Sultan,” titahnya ringkas dalam ucapan kepada paduka ayahanda Sultan Ibrahim yang dimuat naik di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor hari ini.

Turut merafak sembah serta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan doa ialah Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.

“Daulat Tuanku! Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Sultan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.

"Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada baginda sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor pada 23 Mac 2026 Bersamaan 3 Syawal 1447 Hijrah.

"Dengan segala hormat dan takzimnya yang berdatang sembah patik dan seluruh Bangsa Johor, Allah Peliharakan Sultan Allah Berkati Johor," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS