Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AS-Israel serang fasiliti tenaga di Isfahan, Khorramshahr - Media Iran
Diterbitkan:  Mar 24, 2026 12:33 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada Isnin dilaporkan menyasarkan kemudahan berkaitan tenaga di wilayah Isfahan dan bandar barat daya Khorramshahr di Iran, menurut Anadolu Ajansi, memetik media Iran.

Di Isfahan, sebuah bangunan pentadbiran gas asli dan stesen pengurangan tekanan gas diserang menyebabkan kerosakan pada bahagian fasiliti dan rumah berdekatan, lapor Agensi Berita Fars.

Di Khorramshahr, saluran paip gas asli milik loji jana kuasa disasarkan. Pegawai di Khorramshahr berkata sebuah peluru berpandu mengena kawasan di luar stesen saluran paip gas asli namun tiada kemalangan jiwa.

Walaupun tiada maklumat mengenai gangguan bekalan elektrik di Isfahan, dilaporkan bekalan kuasa berterusan tanpa gangguan di Khorramshahr hasil usaha berterusan.

Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada Sabtu, AS akan "melenyapkan" loji jana kuasa Iran jika Tehran tidak membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya kepada penghantaran komersial dalam tempoh 48 jam.

Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran mengumumkan sebarang serangan ke atas infrastruktur Iran akan mencetuskan serangan "timbal balik" serta-merta ke atas grid tenaga serantau dan loji penyahgaraman, khususnya yang menyokong pangkalan Israel atau AS.

Serangan terbaharu itu berlaku selepas Trump berkata pada Isnin, beliau telah mengarahkan penangguhan lima hari semua serangan ke atas loji jana kuasa Iran dan infrastruktur tenaga, mengatakan perbincangan "sangat baik dan produktif" dengan Tehran sejak dua hari lepas.

Ketegangan memuncak di rantau ini susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb.

Iran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel dan negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS