IJM Corp Bhd hari ini memaklumkan bahawa syarikat itu sudah menerima surat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mengesahkan bahawa siasatan yang dijalankan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat itu sebagai sebuah entiti.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, IJM berkata SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan itu terhad kepada beberapa individu yang berkaitan dengan IJM, dan bukannya syarikat itu sendiri.
Pada 6 Februari, media melaporkan bahawa eksekutif tertinggi IJM ditahan bagi membantu siasatan agensi anti-rasuah itu dalam siasatan berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset luar negara, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Terdahulu, Bahagian Operasi Khas SPRM memulakan siasatannya pada 19 Januari, yang tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dan kemungkinan pelanggaran undang-undang yang berkaitan.
Pada penutup, harga saham IJM meningkat lima sen kepada RM2.42, dengan 7.0 juta saham diniagakan.
- Bernama
