PN menggesa SPRM dan PDRM segera menjalankan siasatan dakwaan pembayaran sebanyak RM9.5 juta kepada seorang ahli Parlimen PKR berkait usaha “menyelesaikan” isu rangkaian yang digelar sebagai “mafia korporat”.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata dakwaan ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja melibatkan jumlah wang yang besar, tetapi turut menimbulkan persoalan serius berkaitan tadbir urus korporat, penyalahgunaan pengaruh politik serta integriti institusi negara.
“Lebih membimbangkan, menurut dakwaan tersebut, wang berkenaan diberikan untuk tujuan mendapatkan campur tangan politik dalam urusan korporat.
“Sekiranya benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap prinsip tadbir urus baik dan integriti yang selama ini dilaungkan oleh kerajaan. Ia juga berpotensi mencetuskan persepsi bahawa pengaruh politik digunakan untuk campur tangan dalam urusan korporat serta proses penguatkuasaan undang-undang.
“SPRM dan PDRM digesa segera menjalankan siasatan yang menyeluruh, bebas dan telus tanpa selindung, bagi memastikan kebenaran ditegakkan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak atau individu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan ahli perniagaan Victor Chin mendedahkan dakwaan seorang ahli parlimen PKR menerima RM9.5 juta berhubung skandal mafia korporat.

Chin mendakwa dia telah memberi RM9.5 juta kepada wakil rakyat PKR selepas ahli parlimen itu berjanji untuk menangani isu yang dihadapinya berkaitan dengan "mafia korporat".
Chin mendakwa dia membuat bayaran itu pada 18 Okt tahun lepas dan mengancam untuk mendedahkan identiti ahli parlimen itu jika dana itu tidak dikembalikan menjelang 30 Mac.
Dalam perkembangan sama PN juga menggesa kerajaan, khususnya kepimpinan PKR, supaya memberikan penjelasan segera kepada rakyat, selain bekerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan.
Tegasnya, kegagalan menangani dakwaan ini secara terbuka dan berintegriti hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah serta salah guna kuasa.
“PN juga mendesak supaya identiti individu terlibat hanya ditentukan melalui proses siasatan yang sah bagi menghindari spekulasi yang boleh menjejaskan reputasi mana-mana pihak yang tidak bersalah.
“PN akan terus memantau perkembangan kes ini dan tidak akan teragak-agak untuk membawanya ke Parlimen bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam pentadbiran negara dipertahankan.
“Integriti bukan sekadar slogan dan kata-kata muluk pemanis bicara, tetapi lebih daripada itu, ia menuntut pembuktian melalui ketelusan serta akauntabiliti yang konsisten dan berani,” tambahnya yang juga setiausaha agung PAS.
Semalam Menteri Sumber Manusia R Ramanan menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan dana berjumlah RM9.5 juta daripada Chin, menegaskan bahawa dia tidak pernah bertemu atau mendengar tentang ahli perniagaan itu.
Menuduh bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menyebabkan penyebaran dakwaan sedemikian terhadapnya, Ramanan berkata bahawa dia tidak perlu mengetengahkan isu itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR.
Katanya, dia enggan membebankan perdana menteri yang kini fokus kepada agenda ekonomi dunia yang lebih penting.
