PN berpendapat gabungan itu tidak akan terkesan jika MIC enggan menyertai gabungan itu – di sebalik permohonan rasmi dikemukakan parti kompinen BN pada Nov tahun lalu.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya terbuka dengan pendirian yang diambil MIC sama ada mahu meneruskan rancangan menyertai parti pembangkang tersebut atau kekal dengan keadaan sekarang.
Malah Takiyuddin memberikan hujah betapa PN – sama ada MIC menyertai mereka atau tidak – akan tetap mempunyai kekuatan sendiri.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS menjelaskan tanpa MIC pun PN berjaya memenangi sehingga 74 kerusi parlimen dalam PRU lalu.
"Mereka (MIC) hanya ada satu ahli parlimen, jadi tidak beri kesan besar kepada PN.
"Jika mereka mahu kekal dengan BN, itu pilihan mereka dan PN tiada masalah," katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Takiyuddin ditemui media semasa majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Kota Bharu.
Kencenderungan MIC untuk meninggalkan BN sudah terlihat sejak bertahun-tahun lalu, antara lain selepas terbentuknya kerajaan perpaduan apabila PRU ke-15 menyaksikan tiada parti tunggal mampu membentuk kerajaan secara sendirian.
Bukan untuk dijual
Pada 17 Mac lalu Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, dipetik media sebagai berkata mereka belum membuat sebarang keputusan berhubung penyertaan ke dalam PN.
Katanya, keputusan muktamad berhubung isu itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.
Bagaimanapun, hari ini Takiyuddin mendedahkan MIC menghantar permohonan rasmi untuk menyertai PN seawal 15 Nov tahun lalu dan ketika itu gabungan pembangkang tersebut masih dipimpin Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Menurut Takiyuddin, surat MIC itu jelas menggunakan ayat “diterima masuk semula” ke dalam PN kerana parti tersebut menganggap mereka adalah sebahagian daripada pengasasnya.

Takiyuddin juga sempat mencabar MIC jika mereka mahu menyanggah kenyataan yang dibuatnya.
"Kalau mereka kata tidak mohon, sila buktikan. Saya ada surat tersebut," katanya.
Dalam perkembangan sama Takiuyuddin – yang mengambil alih jawatan Setiausaha Agung PN selepas dikosongkan Azmin Ali – memberitahu jika MIC terus tidak memberikan maklum balas, mereka akan menganggap parti berkenaan menolak penyertaan ke dalam gabungan tersebut.
Katanya PN sudah memberi ruang kepada MIC untuk membuat keputusan tersebut namun ia tidak boleh dibiarkan tergantung begitu saja.
"MIC nak balas surat pun boleh, nak buat kenyataan pun boleh, tetapi jika tiada respon segera, kita (PN) anggap mereka menolak.
"Cuma kita hairan (apabila) MIC kata buat masa ini mereka kekal dengan BN. Itu kena tanya dengan MIC, apa maksud mereka," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi MIC sendiri diberikan pilihan untuk memilih langkah lanjut dalam percaturan mereka.
"Kalau mereka tidak mahu terima, tidak mengapa. PN bukan untuk dijual.
“Sesiapa yang mahu menyertai perlu memohon, dan yang tidak mahu, itu pilihan mereka," ujarnya.
