Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sembilan bulan meninggal dunia dengan beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badannya, dipercayai menjadi mangsa penderaan Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Abdul Malek Ismail berkata pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa terbabit daripada pegawai perubatan Hospital Taiping.
Katanya kanak-kanak itu dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di zon merah pada jam 12.43 tengah hari.
“Doktor yang bertugas telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama 30 minit, namun mangsa tidak menunjukkan pemulihan peredaran spontan (ROSC) sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.12 tengah hari.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan mencurigakan pada badan mangsa, manakala keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan hentakan objek tumpul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, Abdul Malek berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Dia menambah empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 53 tahuntelah ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya semua suspek merupakan ahli keluarga mangsa.
“Mereka direman selama tujuh hari bermula 27 Mac bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes ini berjaya diselesaikan dengan penahanan semua suspek terbabit,” katanya.
- Bernama
