Saya tidak perlu jelaskan mengapa, kata Dr M
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipanggil memberi keterangan pagi ini kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Datuk VK Lingam.
Beliau merupakan saksi kesembilan yang dipanggil memberi keterangan pada hari keempat prosiding suruhanjaya tersebut.
Ini merupakan kali pertama Dr Mahathir memberi keterangan mengenai tindakan-tindakannya sewaktu pentadbirannya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dipanggil memberi keterangan pagi ini kepada suruhanjaya diraja yang menyiasat klip video Datuk VK Lingam.
Beliau merupakan saksi kesembilan yang dipanggil memberi keterangan pada hari keempat prosiding suruhanjaya tersebut.
Ini merupakan kali pertama Dr Mahathir memberi keterangan mengenai tindakan-tindakannya sewaktu pentadbirannya.
Dr Mahathir yang memakai kot kelabu memasuki bilik perbicaraan pada 10.02 pagi diiringi beberapa pegawai polis dan tiga peguam yang mewakilinya.
Beliau dilihat tunduk hormat kepada panel suruhanjaya dan sempat tersenyum kepada semua peguam dan orang awam serta wartawan sebelum duduk di tempat saksi memberikan keterangan.
Dr Mahathir, yang disediakan dengan kerusi khas dan air mineral, kemudian mengangkat sumpah.
Anak perempuan beliau, Datin Paduka Marina yang memakai baju kurung berwarna hijau dan coklat berbunga hadir di prosiding berkenaan pada jam 9.50 pagi dan sempat bersalaman dengan peguam pemerhati termasuk Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan.
Pada permulaannya, peguam Dr Mahathir, Tunku Sofiah Jewa membaca satu kenyataan bahawa bekas perdana menteri itu bersedia menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya.
Bagaimanapun, sewaktu memberi keterangan, jawapan Dr Mahathir kepada kebanyakan soalan ialah beliau tidak ingat apa-apa berkaitan dengan sebarang insiden yang ditanya kepadanya.
Buat keputusan sendiri
Dr Mahathir juga memberitahu suruhanjaya tersebut pagi ini bahawa beliau mendapatkan pandangan pihak lain mengenai pelantikan hakim-hakim dan beliau yang membuat keputusan muktamad.
Ditanya sama ada beliau dipengaruhi oleh sesiapa dalam pelantikan hakim-hakim, Dr Mahathir dengan tegas berkata beliau sendiri yang membuat keputusan muktamad.
“Saya tidak perlu memberitahu sesiapa pun mengapa saya membuat keputusan tersebut," katanya.
“Saya mendengar pandangan tidak rasmi sewaktu berbual atau di majlis-majlis. saya menimbang pandangan-pandangan tersebut, tetapi keputusan muktamadnya adalah di tangan saya," katanya.
Dr Mahathir yang nampak tenang dan beberapa kali kelihatan tersenyum, berkata apa juga sebab-sebab beliau membuat keputusan, ianya adalah "sesuatu yang saya tidak beritahu orang lain".
"Ia bergantung pada budibicara saya. Saya tidak perlu menjelaskan mengapa," katanya.
Dr Mahathir juga ditanya mengenai pelantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Hakim Besar Malaya dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.
Bekas perdana menteri itu juga adiminta memberi justifikasi pelantikan beberapa orang Hakim Mahkamah Tinggi.
'Tidak ingat'
Semalam, surat menyurat antara Dr Mahathir dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dikemukakan kepada suruhanjaya tersebut.
Sepucuk daripadanya menunjukkan Dr Mahathir menolak dua nama yang dicadangkan oleh Mohamed Dzaiddin - Andrew Chew dan Zainudin Ismail - dan menggantikan mereka dengan yang lain.
Peguam Datuk VK Lingam dirakam berbual melalui telefon meramalkan bahawa kedua-dua Chew dan Zainudin tidak akan dilantik kerana mereka dari "kem Dzaiddin”.
Bila tanya mengapa nama Chew dan Zainudin digugurkan, Dr Mahathir memberitahu suruhanjaya tersebut yang beliau tidak ingat sebab-sebabnya.
Para peguam dijangka menyoal Dr Mahathir mengenai hubungannya dengan Lingam dan sama ada beliau dipengaruhi oleh peguam tersebut berhubung pelantikan hakim-hakim.
Bekas perdana menteri itu juga dijangka disoal mengenai lain-lain keputusannya yang berkaitan dengan badan kehakiman.
Dua lagi saksi - bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Eusoff Chin dan Menteri Pelancongan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

