Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gelombang haba: Orang ramai dinasihatkan hadkan masa du luar bangunan

Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai untuk mengehadkan masa di luar bangunan serta mengurangkan aktiviti fizikal luar sebagai langkah utama melindungi diri daripada risiko kesihatan sepanjang musim gelombang haba.

Dalam kenyataan hari ini, KKM turut menggariskan lima lagi panduan, iaitu memastikan tubuh kekal terhidrat dengan meminum air kosong tanpa mengira tahap aktiviti fizikal.

Selain itu, orang ramai diingatkan agar tidak duduk di dalam kenderaan yang diparkir serta tidak meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kenderaan bagi mengelakkan risiko kesihatan serius.

KKM juga menyarankan penggunaan kipas atau penyaman udara untuk menyejukkan badan ketika cuaca panas.

“Orang ramai digalakkan memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta menggunakan topi atau payung bagi melindungi diri daripada pendedahan terus kepada sinaran matahari,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan kesemua enam panduan tersebut terkandung dalam video berdurasi satu minit tiga saat yang dimuat naik di platform media sosial rasmi kementerian, iaitu X, Facebook, Instagram dan TikTok.

Menurut kementerian itu, gelombang haba merupakan tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca panas.

“Di Malaysia, gelombang haba ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut,” menurut KKM.

KKM turut menasihati orang awam untuk mengikuti arahan pihak berkuasa dan mendapatkan perkembangan cuaca semasa yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Semakan di laman sesawang MetMalaysia mendapati setakat 5 petang ini, Alor Setar di Kedah mencatat suhu tertinggi, iaitu 36 darjah Celcius diikuti Kangar, Perlis (35 darjah Celcius), Ipoh, Perak (34 darjah Celcius) dan Senai, Johor (32 darjah Celcius).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS