Empat lukisan bernilai hampir RM1 juta, termasuk karya Pablo Picasso yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB dalam perjalanan semula ke Malaysia
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, semua lukisan bernilai tinggi itu adalah hasil perbincangan rasmi bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) di Washington DC pada Disember tahun lalu.
“Saya dimaklumkan lukisan-lukisan ini sedang dalam proses penghantaran kurier untuk tiba di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Ia adalah karya seni (peguam utama 1MDB) Jasmine (Loo) yang berada di Sotheby’s Auction House.
“Baki karya seni lain masih di bawah jagaan (Rumah Lelong) Christie's,” katanya dalam temubual khas bersama New Straits Times, di Kuala Lumpur semalam.
Karya seni tersebut merupakan sebahagian daripada koleksi lebih besar membabitkan 12 lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan dengan kes itu, dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM142 juta (AS$30 juta).

Zamri menambah bahawa SPRM akan menggunakan prosedur Bantuan Undang-undang Timbal Balas (MLA) bagi memudahkan pemulangan tujuh lagi karya seni yang kini di Christie's. Difahamkan juga bahawa sebuah lagi lukisan telah dijual.
Menurut NST, karya seni tersebut asalnya diperolehi melalui lelongan antarabangsa di New York pada November 2014, dengan nilai pembelian gabungan lebih RM930,000 pada masa itu. Antaranya ialah Composition (1953) oleh Joan Miró, yang dibeli pada harga kira-kira RM440,000, mengatasi anggaran awalnya iaitu RM280,000 hingga RM375,000.
Turut termasuk adalah karya Maurice Utrillo, Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV (1934), yang diperolehi pada harga sekitar RM235,000, jauh melebihi anggaran antara RM95,000 hingga RM140,000. Sebuah lagi karya, Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus, dibeli pada harga kira-kira RM132,000, melebihi anggarannya sebanyak RM70,000 hingga RM95,000.

Sementara itu, litograf berwarna L'Ecuyère et les clowns (1961) oleh Picasso dibeli pada harga kira-kira RM123,000, jauh mengatasi anggaran awal RM23,000 hingga RM33,00.
