Ibu kepada seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini, anak perempuannya hanya berkongsi cerita mengenai insiden menimpa Zara Qairina Mahathir selepas hampir tiga bulan kerana masih mengalami trauma.
Wanita berusia 41 tahun itu mendedahkan, anaknya – yang merupakan saksi kanak-kanak ke-65 dalam prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu itu – memaklumkan lebih lanjut berhubung insiden malang berkenaan kepadanya kira-kira Sept dan Okt tahun lepas.
Wanita itu kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada seorang tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, iaitu Ustazah Shukriah Fauzi antara Jan dan Feb bagi mendapat kepastian sama ada anaknya turut diambil keterangan berhubung insiden itu atau tidak.
“Anak saya ada memberitahu kenapa dia berasa trauma. Apabila saya tanya kenapa baru bagitahu (ambil masa menceritakan lanjut mengenai kejadian), jawapannya, dia takut. Kami nampak perubahan dia selepas kejadian ini.
“Dia dalam keadaan tidak selesa dan rasa bersalah,” katanya.
Ibu saksi kanak-kanak itu menyatakan demikian ketika menjawab soalan peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip yang mewakili bapa Zara Qairina di hadapan koroner Amir Shah Amir Hassan.
Ketika membacakan keterangan saksinya, wanita terbabit berkata sewaktu bertemu anaknya pada 16 Julai 2025, dia memberitahu Zara Qairina jatuh dari bangunan asrama dan meminta untuk mendoakan rakannya itu, namun tidak menceritakan dengan lebih lanjut.
“Saya melihat anak saya pada masa itu berada dalam keadaan emosi, tertekan dan menangis teresak-esak. Hampir tiga bulan kemudian, barulah anak saya menceritakan apa yang terjadi dengan lebih lanjut apa yang dia tahu berkenaan kejadian tersebut,” katanya.
Wanita itu yang merupakan saksi ke-66 dalam inkues berkenaan berkata anaknya bercerita bahawa pada malam sebelum kejadian, dia berjanji untuk berjumpa rakannya di blok A Rabiatul Adawiyah selepas waktu prep (persediaan) tetapi tertidur.
Saksi berkata anaknya menceritakan dia terjaga daripada tidur kira-kira jam 1 pagi sebelum pergi ke blok asrama itu untuk berjumpa rakannya dan semasa dia mahu balik semula ke biliknya di blok B, dia ternampak kelibat seorang pelajar perempuan berlegar-legar di aras tiga blok A.
Wanita itu memberitahu anaknya kemudian naik ke aras tiga dan menepuk belakang pelajar perempuan terbabit dan mendapati pelajar itu ialah Zara Qairina.
Katanya pelajar berkenaan kemudian memegang tangan Zara Qairina dan membawa remaja tersebut masuk ke bilik sebelum beredar untuk pulang tidur ke biliknya di Blok B Sumaiyyah.
Ibu saksi kanak-kanak itu turut memaklumkan anaknya ada memberitahu bahawa semasa perjumpaan dengan pelajar secara beramai-ramai di sekolah, terdapat seorang anggota polis wanita bertanya tentang apa yang dia tahu.
Dia berkata anaknya menceritakan semuanya kepada anggota polis wanita tersebut tetapi anggota polis itu telah meninggikan suara dan bertanya “kenapa pergi ke blok A pada masa itu?” sehingga menyebabkan anaknya menangis.
“Kemudian terdapat seorang anggota polis lelaki telah menenangkan anak saya dan dia telah menceritakan semuanya kepada anggota polis lelaki tersebut tetapi anak saya tidak tahu adakah ceritanya ada direkodkan atau tidak,” katanya.
Wanita itu berkata selepas kejadian menimpa Zara Qairina, anaknya lebih banyak berdiam diri dan seperti menyalahkan diri sendiri, selain selalu menggigil akibat trauma melampau ekoran daripada kejadian di asrama tersebut.
“Anak saya memaklumkan kepada saya bahawa sehari sebelum kejadian dia ada nampak Zara (Qairina) tidak ceria seperti selalu dan apabila ditegur pun Zara hanya senyum sahaja dan tiada berinteraksi.
“Anak saya menyalahkan dirinya kerana tidak bercakap dengan Zara, mungkin sekiranya dia ada bercakap atau berbual dengan Zara, kejadian itu mungkin tidak akan berlaku. Sememangnya pada masa itu anak saya sibuk dengan pertandingan dan latihan hoki sekolah,” katanya.
Susulan pendedahan anaknya itu, wanita berkenaan mengambil keputusan untuk menghubungi seorang guru di sekolah tersebut dan menceritakan perkara berkenaan sebelum keterangannya diambil oleh pihak polis.
Sementara itu, peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina ketika berkongsi keterangan saksi kanak-kanak tersebut berkata, dia hanya tampil memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina kerana bimbang timbul salah faham dan takut dipersalahkan.
Shahlan berkata saksi kanak-kanak tersebut memberitahu dia berasa risau dan takut terhadap kemungkinan salah faham daripada media dan netizen berikutan saksi menganggap dia adalah orang terakhir terjumpa Zara Qairina sebelum insiden malang itu berlaku.
Prosiding disambung esok.
Semalam, dilaporkan kanak-kanak itu yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai saksi, tampil memberi keterangan.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya, kira-kira jam 4 pagi.
Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis, manakala pada 8 Ogos 2025, AGC mengeluarkan perintah menggali semula kubur allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
- Bernama
