Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Faekah ungkit parut lama, anggap situasi Rafizi sebagai kifarah
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 1:06 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Bekas setiausaha politik kepada allahyarham Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin, menyifatkan nasib politik melibatkan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli sebagai “kifarah” atau pembalasan.

Mengimbau "Langkah Kajang" pada tahun 2014, Faekah menegaskan dia sukar untuk menaruh harapan tinggi atau menghormati Rafizi yang dianggapnya sebagai arkitek utama gerakan tersebut.

"Langkah Kajang tidak akan berlaku tanpa restu daripada pucuk pimpinan tertinggi parti yang menurutnya gagal bertindak secara adil dan jujur dalam menguruskan krisis tersebut.

"Rafizi yang merangka strategi tersebut mungkin kini sedang merasai sendiri tekanan yang pernah dialami oleh almarhum Khalid ketika diketepikan oleh parti sedekad yang lalu.

"Kalau pun dia tidak mengaku salah, sekurang-kurangnya kini dia merasa apa yang dirasai Almarhum Tan Sri Khalid ketika diketepikan oleh parti pada 2014 dahulu," katanya dalam hantaran media sosial.

Rafizi Ramli (kiri)

Faekah berkata demikian mendedahkan jawapannya kepada sebuah media, ketika diminta mengulas berkaitan kritikan terhadap Rafizi dari kehilangan jawatan nombor dua dalam parti kepada kritikan menteri gagal.

Sementara itu, Faekah mendakwa, dalam pemilihan PKR pada 2010, Khalid “diarah dan diugut oleh Anwar” supaya menarik diri dari pertandingan jawatan timbalan presiden bagi memberi laluan kepada Azmin Ali.

Azmin kini memilih haluan baru bersama Bersatu pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Faekah juga berkata, Langkah Kajang merupakan titik tolak kepada apa yang dipanggilnya sebagai “pengkhianatan terhadap prinsip keadilan yang diperjuangkan PKR sejak penubuhannya pada 4 April 1999.

Faekah mengakui parut yang ditinggalkan oleh gerakan menggulingkan Khalid itu masih belum sembuh sepenuhnya.

Allahyarham Khalid Ibrahim

Langkah Kajang dirujuk drama politik krisis dalaman PKR cuba menggantikan Khalid yang dilantik sebagai menteri besar Selangor pada Mac 2008 sebelum dipecat dari PKR pada 9 Ogos 2014.

Pemecatan itu berpunca daripada keengganannya berundur bagi memberi laluan kepada Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan presiden PKR ketika itu.

Dilaporkan, walaupun PKR mencadangkan Wan Azizah, Sultan Selangor ketika itu akhirnya memilih Azmin Ali sebagai pengganti.

Faekah turut memberi amaran bahawa pusingan kifarah itu tidak mustahil akan turut menimpa pemimpin lain dalam lingkungan keluarga Anwar, termasuk anaknya Nurul Izzah atau Wan Azizah.

"Wallahualam... kifarah tidak berlaku kepada sesetengah orang sahaja," katanya lagi.

Rafizi satu ketika merupakan orang kuat presiden parti Anwar Ibrahim.

Namun, pada pemilihan parti tahun lepas, dia kalah kepada Izzah bagi jawatan timbalan presiden membawa kepada krisis dalam PKR sehingga Rafizi letak jawatan sebagai menteri ekonomi.

Rafizi juga sering mengkritik Anwar dan kerajaannya secara terbuka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS