Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lupakan PN - Hamzah, penyokong boleh sertai Rumah Bangsa Umno’
Diterbitkan:  Apr 2, 2026 1:59 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Abdul Aziz, menyarankan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin dan kumpulan pemimpin yang menyokongnya supaya melupakan Perikatan Nasional (PN), dan sebaliknya menyertai Rumah Bangsa tajaan Umno.

Katanya, kumpulan tersebut seharusnya "move on" dan membawa bersama penyokong mereka untuk berkolaborasi melalui platform yang disediakan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tersebut.

"Lupakan PN, 'move on' sajalah. Lebih elok join (sertai) Rumah Bangsa dan Kolaborasi Agung tajaan Ahmad Zahid. Penat saja ada Langkah Bangkok (merujuk pertemuan antara beberapa pemimpin Umno dan pembangkang).

Hamzah Zainuddin

"Bawa bersama semua 'Geng SD' (akuan bersumpah) dan penyokong yang ada. Masuk parti yang sudah sedia ada, dan sudi terima melalui Rumah Bangsa,”katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Bekas pemimpin Umno itu turut menyarankan agar kumpulan tersebut menuntut jaminan daripada Ahmad Zahid untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai calon di kerusi yang disandang pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

"Kalau Ahmad Zahid ikhlas, minta dia kekalkan semua Adun dan Ahli Parlimen Geng SD untuk bertanding di kerusi disandang termasuk (Parlimen) Larut (kerusi Hamzah) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

"Jangan lupa tuntut janji Ahmad Zahid untuk dijadikan TPM seperti yang disebut dalam rundingan-rundingan tanpa mandat sebelum ini," katanya.

Dia mengulas mengenai desas-desus penubuhan parti baharu yang bakal diterajui oleh Hamzah, dan akan memohon menjadi parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Sekiranya ini berlaku, parti itu akan menyertai gabungan sedia ada yang kini dianggotai oleh PAS, Bersatu, Gerakan dan MIPP.

Sebelum ini, Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen Larut telah disingkirkan daripada Bersatu atas dakwaan melanggar peraturan parti serta usaha mencabar kepimpinan Muhyiddin Yassin. Walaupun menegaskan dia tidak akan kembali kepada Umno, Hamzah menyatakan kesediaan untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak demi rakyat menerusi agenda 'Reset' yang diperjuangkannya.

Dalam pada itu, Tun Faisal mengingatkan wakil rakyat yang terlibat supaya meneliti peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan peralihan sokongan parti.

Katanya, mereka perlu bermuhasabah mengenai janji dan sumpah yang telah dibuat sebelum memenangi kerusi masing-masing.

"Kalau ada masa lapang, baca juga Akta Lompat Parti dan minta semua Adun dan Ahli Parlimen yang terbabit bermuhasabah diri tentang lafaz sumpah dan baiah yang pernah dilafazkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS