Penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris telah memfailkan notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang mengenakan denda RM4,000 selepas dia didapati bersalah membuat hantaran menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri, atau dikenali sebagai Papagomo, ketika dihubungi Bernama mengesahkan notis rayuan itu difailkan pada 1 April lepas di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Berdasarkan notis rayuan yang diperoleh media hari ini, Wan Muhammad Azri merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Norma Ismail pada 30 Mac lepas.
Pada 2 Mei 2024, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang di sini pada 12 tengah hari 29 April 2024 mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Pada 24 Sept 2025, mahkamah memerintahkan Wan Muhammad Azri membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil tujuh individu untuk memberi keterangan bermula Oktober 2024 manakala Wan Muhammad Azri tampil sebagai saksi pembelaan.
- Bernama
