Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli MPP PKR dakwa Rafizi ‘sabotaj dalaman' parti
Diterbitkan:  Apr 5, 2026 12:15 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

Seorang ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Kumaresan Aramugam, menuduh bekas timbalan presiden parti itu, Rafizi Ramli melakukan “sabotaj politik dalaman.”

"Rafizi jangan berlakon jadi mangsa, jangan ugut parti," tegasnya pada satu kenyataan.

Ini selepas ahli Parlimen Pandan itu berkata dia akan menjadi “lebih berbahaya” dari luar parti.

Kumaresan (gambar bawah) yang juga Adun Batu Uban menyifatkan tindakan Rafizi sebagai “cubaan terdesak” untuk mengalih perhatian daripada siasatan skandal pelaburan Arm Holdings bernilai RM1.12 bilion yang sedang berlangsung.

Dia berkata seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan tidak akan sekali-kali mengugut parti sendiri demi kepentingan politik.

“Jika benar Rafizi merasakan dirinya lebih kuat di luar parti, maka jangan terus bermain dua muka, keluar sekarang.

"Lebih satu juta anggota PKR bukan wujud untuk memenuhi kehendak seorang individu. PKR adalah parti berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk mana-mana individu.

"Cukuplah sandiwara ini. Rafizi tidak boleh terus berada dalam parti sambil merosakkan parti dari dalam. Itu bukan prinsip, itu hipokrasi politik," tegasnya lagi.

Terdahulu Pengerusi PKR Johor Zaliha Mustafa yang mendakwa kenyataan dan kritikan terbuka dibuat Rafizi berpotensi memberi kesan kepada keharmonian dalaman dan kekuatan parti.

Rafizi merupakan orang nombor dua PKR pada 2022 dan bertanding untuk mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan pada tahun lalu. Bagaimanapun dia gagal apabila kalah kepada Nurul Izzah.

Pemilihan yang berlangsung pada Mei 2025 itu bukan saja menyaksikan Rafizi kalah dengan perbezaan lebih 5,900 undi berbanding Nurul Izzah, malah dia mengotakan janjinya dengan meletak jawatan sebagai menteri ekonomi.

Dia kemudian muncul dalam slot audio siar dari semasa ke semasa dengan menjadi pengkritik kerajaan serta parti sehingga menyebabkan rasa kurang senang sesetengah pihak.

Semalam, Rafizi memberi amaran bahawa pembukaan kedai runcit Madani Mart oleh Yayasan Madani boleh menimbulkan kebimbangan tertentu kerana ia melibatkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang juga bertanggungjawab dengan program Jualan Rahmah.

Rafizi menyorot bahawa, ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Madani terdiri daripada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh; seorang setiausaha politik perdana menteri dan seorang setiausaha politik menteri kewangan - dipercayai merujuk kepada Farhan Fauzi dan Kamil Munim, berdasarkan laman web Yayasan Madani.

Kata Rafizi, konsep perniagaan Madani Mart oleh Yayasan Madani itu secara jelas menggambarkan ia adalah usaha kerajaan.

Bagaimanapun Kumaresan menyoal kenapa Rafizi tidak bersuara sepanjang tiga tahun berkhidmat sebagai menteri ekonomi.

“Mengapa kini hanya lantang di pentas podcast, selepas tidak lagi berada dalam kedudukan kuasa,” katanya.

Kumaresan juga cuba mengaitkan Rafizi dengan bekas pegawai menteri itu, James Chai yang enggan pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan SPRM berkaitan perjanjian RM1.1 billion kerajaan dengan Arm Holdings.

Terdahulu, Rafizi menafikan sebarang salah laku berhubung kaitan syarikatnya dengan projek semikonduktor tersebut dan menegaskan dia bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

James Chai atau Chai Jin Shern adalah antara bijak pandai yang dilantik Rafizi bagi membantunya ketika menerajui kementerian ekonomi.

Lelaki itu merupakan graduan pusat pengajian terkemuka dunia Universiti Oxford dalam bidang undang-undang dan teknologi, selain turut dikenali sebagai seorang penulis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS