mk-logo
Berita
Ahli politik 'dingin' kes pemandu positif dadah ragut tiga nyawa di Segamat

Kecaman lantang ahli politik terhadap kemalangan maut melibatkan pemandu mabuk yang meragut nyawa Amirul Hafiz Omar minggu lalu tidak berlanjutan kepada satu lagi tragedi jalan raya beberapa hari kemudian, apabila seorang pemandu lori yang didapati positif dadah menyebabkan kemalangan yang mengorbankan tiga orang dan mencederakan dua yang lain.

Tiga mangsa yang maut ialah K Myakrishnan, 71, isterinya S Sevendai, 65, dan abang kepada wanita itu, S Palamiandy, 75. Dua cucu Myakrishnan dan Sevendai berusia 22 dan 18 tahun turut cedera parah, dengan yang lebih muda dilaporkan kini dalam keadaan kritikal akibat kecederaan otak.

Kemalangan itu — apabila lori dipandu suspek merempuh bahagian belakang van dinaiki keluarga tersebut sebelum kenderaan itu terbabas dan melanggar sebuah lagi lori di lorong bertentangan — berlaku hanya kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Semakan Malaysiakini mendapati hanya segelintir ahli politik mengulas insiden di Segamat pada 3 April itu, termasuk Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Timbalan Menteri Perpaduan R Yuneswaran, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, serta anggota exco Negeri Sembilan J Arul Kumar.

Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarah menjalankan audit serta siasatan segera terhadap syarikat pengendali treler yang mengakibatkan nahas itu.

Menteri itu berkata tindakan tegas perlu diambil termasuk memastikan syarikat terbabit dipertanggungjawabkan atas kegagalan memantau disiplin pemandu mereka yang turut didapati positif dadah methamphetamine.

Bagi Akmal pula, dia menegaskan pemandu tersebut mesti didakwa atas kesalahan membunuh dan dikenakan hukuman berat.

“Mohon pemandu treler ini juga didakwa di bawah kesalahan membunuh dan dikenakan hukuman yang sangat berat.

“Ambil dadah itu sudah jadi satu kesalahan. Membunuh akibat khayal dadah juga satu kesalahan yang sangat berat dan perlu dihukum sekeras-kerasnya.

“Tidak kira apa pon bangsanya, jika salah tetap salah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sementara itu, Yuneswaran (gambar bawah) yang juga ahli parlimen Segamat berkata tindakan mementingkan diri pemandu yang mengambil dadah sebelum memandu telah memusnahkan sebuah keluarga, dan dia tidak akan berdiam diri.

"Semua ini berlaku bukan kerana takdir semata-mata, tetapi akibat kecuaian pemandu yang tolol, mementingkan diri sendiri, memandu di bawah pengaruh dadah.

"Tindakan tidak bertanggungjawab ini telah meragut nyawa orang tidak berdosa dan memusnahkan masa depan sebuah keluarga.

"Saya tidak akan berdiam diri," tegasnya.

Arul Kumar turut menggesa supaya pemandu itu didakwa atas kesalahan membunuh, sambil menambah jalan raya mesti dipastikan selamat daripada pengguna di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini mendapati tiada kenyataan daripada Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Kedua-duanya sebelum ini menuntut hukuman mati dikenakan terhadap pemandu mabuk dalam kemalangan di Klang minggu lalu.

Mangsa yang maut dalam insiden terdahulu, pekerja kilang Amirul Hafiz, ketika itu dalam perjalanan membeli buku matematik untuk anak sulungnya.

Tertuduh, R Saktygaanapathy telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh dan turut mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan berasingan berkaitan penggunaan dadah.

Kes itu mendapat perhatian nasional namun perbahasan kemudiannya cepat bertukar menjadi kenyataan berunsur perkauman, apabila segelintir pihak membuat stereotaip berbaur rasis terhadap pemandu mabuk.

Keputusan untuk mendakwa pemandu tersebut atas kesalahan membunuh turut mencetuskan perbezaan pandangan, dengan ramai menyoal jika Jabatan Peguam Negara tunduk kepada tekanan pihak yang marah.

Turut timbul persoalan mengenai pilih kasih dan mengapa insiden lain melibatkan pemandu di bawah pengaruh khayal akibat penggunaan dadah, alkohol atau ubat yang menyebabkan kematian tidak didakwa sebagai kes bunuh.

Peguam Negara Dusuki Mokhtar mempertahankan pertuduhan terhadap Saktyagaanapathy.

Bercakap kepada Malaysiakini, Dusuki sekali lagi menegaskan pihaknya telah memberi pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan untuk merangka pertuduhan bunuh terhadap R Saktygaanapathy, 28, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Saya mesti bertindak sebagai penjaga kepentingan awam dan memastikan keadilan untuk keluarga mangsa yang menuntut keadilan yang adil dan saksama.

"Kematian itu amat tragik. Mengabaikan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain adalah kejam," tegasnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS