mk-logo
Berita
Penduduk Rantau Abang bimbang dua beruang matahari berkeliaran
Diterbitkan:  Apr 6, 2026 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Penduduk di Kampung Rantau Abang di Dungun bimbang dengan kemunculan dua ekor beruang matahari yang berkeliaran di kawasan itu sejak Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Rantau Abang, Atan Mat Nor, 64, berkata dua ekor beruang itu di pekarangan rumahnya di Jalan Masjid Lama, Kampung Rantau Abang pada 3 petang, 27 Mac lepas.

Beliau berkata kemunculan haiwan liar berkenaan yang berkeliaran mencari makanan sempat dirakam anaknya yang kebetulan berada di rumah.

“Sebelum ini, penduduk mendakwa beruang berkenaan hanya berkeliaran pada waktu malam, namun kini haiwan itu dilihat semakin berani apabila muncul pada hari siang sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Rantau Abang, di Dungun hari ini.

Gambar hiasan, beruang matahari.

Beliau berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu sebelum ini telah menangkap dua ekor beruang berkeliaran di kampung itu masing-masing pada Oktober 2025 dan Januari lepas.

Beruang yang masih berkeliaran itu dipercayai datang dari kawasan hutan berdekatan Bukit Penyu, Rantau Abang.

“Saya bimbang kedua-dua beruang itu bertindak lebih agresif selepas ini termasuk berkemungkinan menyerang penduduk kampung.

“Bagaimanapun, difahamkan anggota Perhilitan telah memasang perangkap di kampung ini untuk menangkap beruang berkenaan," katanya.

Seorang penduduk Rafiuddin Mamat, 36, berkata beruang berkenaan bukan sahaja makan dan merosakkan buah kelapa yang gugur berhampiran rumahnya, malah turut menyelongkar tong sampah bagi mencari makanan.

Haiwan liar itu juga minum empat botol minyak kelapa sawit terpakai seberat keseluruhan 20 kilogram yang disimpan berdekatan rumahnya.

"Sebahagian pagar di rumah saya turut dirosakkan beruang berkenaan yang ingin menceroboh masuk pekarangan rumah saya," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS