Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jasa Liong Sik kepada negara sentiasa dikenang - Fahmi
Diterbitkan:  Apr 6, 2026 6:15 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Jasa dan perkhidmatan bekas Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA Tun Dr Ling Liong Sik akan sentiasa dikenang, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi berkata beliau mempunyai hubungan rapat bersama mendiang dan keluarga yang merupakan jirannya ketika membesar di Bukit Damansara.

"Saya sangat rapat terutama dengan anak beliau, Keat. Saya merasakan mendiang merupakan seorang yang telah sangat banyak berjasa kepada negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Dr Ling di Pusat Xiao En di Kuala Lumpur hari ini.

Mendiang Ling Liong Sik

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata anggota Jemaah Menteri pada hari ini melihat dan mengimbau zaman ketika perkhidmatan mendiang.

"Kami faham bahawa apa yang kita lakukan pada hari ini adalah usaha untuk meneruskan apa yang telah dimulakan dulu termasuk oleh Tun.

"Saya berharap keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan ini bersama," katanya.

Dr Ling meninggal dunia pada usia 82 tahun, Sabtu lepas, meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua anak lelaki Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Bekas Presiden MCA itu antara anggota Kabinet paling lama berkhidmat ketika menerajui Kementerian Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 hingga peletakan jawatan beliau pada 2003.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS