Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Daim didakwa di mahkamah sesyen esok
Diterbitkan:  Apr 6, 2026 9:27 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Anak perempuan Allahyarham Daim Zainuddin akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Peguam Yu Ying Ying yang mewakili Asnida Daim itu berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan anak guamnya akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Ya, beliau akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) di Mahkamah Jalan Duta esok,” katanya ringkas kepada media hari ini.

Seksyen itu merujuk kepada kegagalan mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan harta.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, kes anak bekas menteri kewangan itu akan disebut di hadapan hakim Rosli Ahmad pada 9 pagi.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa seorang pengarah syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Terdahulu, Yu memaklumkan media bahawa SPRM mengambil keterangan Asnida di ibu pejabat agensi antirasuah itu selama kira-kira lima jam bermula 10 pagi.

Terdahulu, Bernama melaporkan Asnida hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan berhubung siasatan agensi berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan tiga lagi anak Daim iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin masih belum tiba di Ibu Pejabat SPRM.

Pada 28 Feb lalu SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Daim berikutan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.

Sebelum ini, SPRM melaksanakan Op Godfather susulan pendedahan mengenai kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan Daim, ahli keluarga serta sekutu perniagaan.

Siasatan Op Godfather dilaksana mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS