Mahkamah: Ngiam boleh tuntut mayat isterinya
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa pegurus pusat hiburan Ngiam Tee Kong berhak menuntut mayat isterinya untuk dikebumikan selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menarik balik tuntutannya terhadap mayat tersebut.
Menurut peguam Karpal Sing yang mewakili Ngiam, Hakim Datuk Lau Been Lan telah mengarahkan supaya mayat Wong Sau Lan, yang disimpan di bilik mayat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dia meninggal dunia, diserahkan kepada Ngiam.
Keputusan tersebut dibuat selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengakui bahawa pemelukan agama Islam Wong tidak dilakukan mengikut hukum syarak dan peruntukan di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa pegurus pusat hiburan Ngiam Tee Kong berhak menuntut mayat isterinya untuk dikebumikan selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menarik balik tuntutannya terhadap mayat tersebut.
Menurut peguam Karpal Sing yang mewakili Ngiam, Hakim Datuk Lau Been Lan telah mengarahkan supaya mayat Wong Sau Lan, yang disimpan di bilik mayat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dia meninggal dunia, diserahkan kepada Ngiam.
Keputusan tersebut dibuat selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengakui bahawa pemelukan agama Islam Wong tidak dilakukan mengikut hukum syarak dan peruntukan di bawah Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).
Ngiam yang hadir sama di mahkamah berkata beliau lega kerana pertikaian tersebut telah selesai.
“Sudah 18 hari berlalu. Saya kadang-kadang tidak boleh tidur," kata Ngiam yang menyifatkannya sebagai satu pengalaman yang amat sukar dilalui.
Isterinya yang berusia 54 tahun itu meninggal dunia pada 30 Disember lalu kerana sakit.
Ngiam, seorang penganut Buddha berkata, beliau berharap dapat menuntut mayat isterinya hari ini. Pasangan itu berkahwin selama 28 tahun.
Jumpa bomoh
Bercakap 'penukaran agama' isterinya itu, Ngiam berkata, ia berlaku apabila mereka pergi mendapatkan pertolongan seorang bomoh tahun lalu untuk mengubat penyakit Wong.
Menurutnya, anak lelaki bomoh itu telah merakam isteri saya yang didakwa sedang membaca ayat-ayat agama Islam.
"Ini dilakukan dengan niat yang jahat, kami hanya ke sana untuk mendapatkan rawatan," tambahnya.
Selepas isterinya meninggal dunia, Ngiam pergi ke hospital untuk menuntut mayatnya dan diberitahu bahawa beliau boleh melakukan upacara mengikut agama Kristian tetapi beliau mesti memulangkan mayat Wong untuk dikebumikan mengikut Islam.
Pada hari berikutnya, beliau menerima sepucuk surat yang ditandatangani oleh pengarah Majlis Agama Islam WiIayah Persekutuan, yang menyatakan Wong telah memeluk Islam pada 24 Disember di sebuah flat di Jalan Siakap, Cheras.
Ngiam bagaimanapun, mempertikaikan perkara itu. Beliau mendakwa surat dari pengarah majlis agama Islam itu tidak menyatakan nama Islam isterinya dan penukaran agama itu tidak dibuat mengikut undang-undang.
Beliau berkeras bahawa Wong adalah seorang penganut agama Kristian.
Pada 4 Januari, Ngiam mendapat perintah injunksi mencegah pihak hospital menyerahkan mayat Wong kepada majlis agama Islam. Injunksi sebelah pihak itu difailkan oleh peguam Karpal Singh.
Karpal telah menerima surat dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dua dua minggu lalu yang menyatakan penukaran agama Islam Wong adalah tidak sah, maka permohonan kedua belah pihak berhubung isu tersebut, yang dijadual didengar hari ini, dibatalkan.
Tuntut gantirugi
Dalam surat tersebut, Ketua Unit Perundangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Eidey El-Nimeiry Mokhtar berkata: "Kami telah membuat siasatan lanjut berkaitan pemelukan agama Islam oleh si mati Wong Sau Lan, yang dijalankan oleh seorang awam yang bernama Siti Aishah binti Ismail.
"Setelah siasatan dibuat dan keterangan diambil dari pihak-pihak yang berkenaan, kami telah memutuskan bahawa pemelukan agama Islam si mati adalah tidak sah menurut kehendak Hukum Syarak dan Seksyen 85 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.
"Justeru itu, kami tidak bercadang untuk membela tindakan dan ataupun mengambil apa-apa tindakan lanjut terhadap perkara ini. Pihak kami dengan ini melepaskan segala hak kami terhadap mayat si mati dan menyerahkan kepada waris si mati Ngiam Tee Kong untuk disempurnakan menurut agama yang dianuti oleh si mati sebelum ini."
Sementara itu, Karpal berkata beliau akan menuntut gantirugi bagi kesengsaraan yang dialami oleh keluarga Wong akibat pertikaian tersebut.
“Pihak majlis perlu lebih berhati-hati pada masa depan dalam menentukan pemelukan agama seseorang. Mereka tidak boleh merebut mayat, enggan melepaskannya dan kemudian mengakui pemelukan itu tidak sah.
“Mungkin ada kes-kes (serupa) yang lain di mana ketidakadilan seperti ini telah berlaku. Kita mesti lebih sensitif," tambahnya.
Kes Wong ini merupakan antara kes-kes yang membabitkan pertikaian tuntutan mayat sejak tahun 2005.

