Mahkamah Majistret hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga individu termasuk dua anak bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menghadapi pertuduhan hari ini.

Majistret Illi Marisqa Khalizan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, supaya waran tangkap dikeluarkan terhadap Muhammed Amir Zainuddin, 31, Muhammed Amin Zainuddin, 28, dan ahli perniagaan, Josephine Premla.

“Saya percaya penama-penama ada pengetahuan mengenai notis yang dikeluarkan SPRM tetapi mereka masih gagal untuk menghadirkan diri. Pemohonan pendakwaan mempunyai merit, dengan itu waran tangkap dikeluarkan,” katanya.

Semalam, SPRM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan tegas, antaranya menggerakkan Notis Merah kepada dua anak Tun Daim kerana gagal hadir memberikan keterangan sebagaimana yang diperintahkan melalui tiga Perintah Menghadiri Pemeriksaan bertarikh 13 Feb, 11 Mac dan 6 April 2026.

Josephine juga gagal hadir tanpa alasan yang memuaskan walaupun telah diarahkan berbuat demikian oleh SPRM.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Nizamuddin Hamid, yang mewakili tiga individu berkenaan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan waran tangkap sehingga pihak pembelaan memfailkan permohonan mengetepikan waran tangkap di Mahkamah Tinggi, dan penangguhan keputusan itu.

Illi Marisqa berkata dalam kes itu, notis di bawah Seksyen 30 Akta SPRM telah diberikan oleh pihak SPRM kepada peguam dan adalah cukup untuk memberikan pengetahuan kepada anak guamnya mengenai niat SPRM melakukan siasatan.

"Saya bersetuju notis pertama yang dikeluarkan pada 13 Feb 2026 untuk penama-penama hadir pada 14 Feb 2026 adalah terlalu singkat, namun saya percaya penama-penama mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu berdasarkan surat yang telah ditulis bagi pihak penama-penama oleh peguam pada tarikh 16 Feb 2026.

"Pihak SPRM telah membenarkan permohonan lanjutan masa dan memberikan tarikh 11 Mac 2026, iaitu lebih kurang tiga minggu selepas tarikh kali pertama penama-penama sepatutnya hadir. Namun, melalui surat peguam bertarikh 9 Mac 2026 menyatakan mereka tidak boleh hadir dan hanya bersedia untuk hadir pada 30 Mac 2026.

"Pihak SPRM telah memberikan tarikh akhir, iaitu 6 April 2026 ... saya percaya ia lebih kurang tiga minggu untuk penama-penama hadir. Bagaimanapun, melalui surat bertarikh 4 April 2026, penama-penama tidak boleh hadir kerana alasan yang diberikan, dan memohon tarikh Julai 2026 untuk kehadiran penama-penama. Oleh itu pihak SPRM telah memfailkan permohonan waran tangkap ini di mahkamah," kata Illi Marisqa.