Seorang lelaki yang videonya tular kerana mencampakkan seekor anak kucing ke dinding dan tilam berulang kali di sebuah premis dobi minggu lalu, dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kajang hari ini selepas gagal membayar denda RM60,000 atas kesalahan mendera haiwan itu.
Hakim Khainur Aleeza Ismail menjatuhkan hukuman denda RM60,000 atau penjara enam bulan terhadap tertuduh Toh Teck Hooi, 49, yang tidak bekerja, selepas dia mengaku bersalah.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa dengan kejam mendera seekor anak kucing jantan berwarna hitam dengan cara mencampaknya ke arah dinding dan tilam di sebuah premis dobi layan diri di Taman Kajang Prima di Kajang, antara 3 hingga 4 pagi, pada 2 April lepas.
Kesalahan itu didakwa mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772], yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 29(1) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa turut memuat naik video kejadian itu yang memaparkan perbuatannya mencampak kucing berkenaan ke arah dinding dan tilam secara berulang kali.
Bertindak atas aduan awam, Pegawai Kebajikan Haiwan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pada 3 April lepas dan menemukan anak kucing berkenaan.
Pemeriksaan awal mendapati haiwan itu mengalami kecederaan pada kaki kanan belakang selain menunjukkan tanda kurang aktif serta tidak bermaya.
Susulan itu, tertuduh ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor Mohd Sharif Sabran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
- Bernama
