Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ceroboh, khianat pusat hiburan: 12 lelaki ditahan polis
Diterbitkan:  Apr 7, 2026 9:55 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Polis hari ini menahan 12 lelaki bagi membantu siasatan kes khianat dan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Taman Shamelin, Cheras, Ahad lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata dalam tangkapan itu pihaknya turut merampas beberapa kenderaan dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan, termasuk sebuah lori yang digunakan untuk merempuh pintu pagar premis terlibat.

“Setakat ini, seramai 12 suspek lelaki telah ditangkap dan permohonan reman telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata polis kini giat menjalankan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Satu sidang media khas berhubung perkembangan terbaru kes itu dijadualkan berlangsung pada jam 11 pagi esok di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan individu bertopeng menceroboh masuk ke premis berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 5 April lepas sebelum merosakkan pelbagai barangan di dalam pusat hiburan itu.

Kejadian itu turut dirakam menerusi video berdurasi 71 saat yang tular, memaparkan sebuah lori mengundur sebelum merempuh pagar premis diikuti sekumpulan lelaki bertopeng yang memegang objek tidak dikenal pasti memasuki premis melalui pintu pagar yang dirosakkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS