Suruhanjaya Komuniksi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menarik balik dengan serta merta kelulusan yang diberikan untuk siaran langsung dan tertunda bagi rancangan konsert dan program berbentuk hiburan di saluran 8TV.

Ia ekoran perbuatan seorang artis, Faizal Tahir, membuka baju ketika menyanyi di konsert siaran langsung, stesen televisyen tersebut pada 13 Januari lalu.

Sehubungan itu, 8TV dikenakan tindakan tidak dibenarkan membuat siaran langsung mahupun tertunda bagi konsert dan semua rancangan hiburan untuk tempoh tiga bulan bermula 15 Januari.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat SKMM, Muhamad Tahir Muhamad Noor berkata kelulusan juga tidak akan diberikan bagi sebarang permohonan siaran langsung dan tertunda oleh stesen televisyen lain yang mahu menampilkan artis berkenaan dalam tempoh tiga bulan berkuatkuasa 15 Januari.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata berdasarkan siasatan, penelitian dan maklum balas umum mengenai siaran langsung `Rockin Birthday Concert' yang disiarkan pada 13 Januari lalu, pihak Suruhanjaya mendapati 8TV gagal mematuhi syarat yang ditetapkan untuk kelulusan siaran langsung dan tertunda.

Hukum kerja amal

Beliau berkata Suruhanjaya mendapati tindakan artis yang menanggalkan pakaian pada konsert itu adalah sesuatu yang dilakukan dengan niat tanpa memikirkan sentimen dan sensitiviti penonton serta nilai-nilai murni masyarakat negara ini.

"Ini merupakan satu kesalahan yang serius dalam sesebuah rancangan siaran langsung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya program pra-rakaman atau bukan program siaran langsung yang menampilkan artis yang sudah mendapat kelulusan dari Lembaga

Penapisan Filem (LPF), boleh disiarkan.

Dalam siaran langsung rancangan `Rockin Birthday Concert' itu, penyanyi yang merupakan bekas anggota kumpuan nasyid Mirwana itu bertindak menanggalkan baju sehingga mendedahkan badannya yang disembur dengan cat merah berbentuk `S'.

Akibat tindakan itu Faizal dikenakan hukuman melakukan kerja amal selama enam bulan oleh stesen televisyen 8TV.