Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengamuk di sebuah restoran di Telok Mengkuang, Kuala Langat dengan memecahkan barangan di premis berkenaan selain merosakkan kenderaan orang awam di kawasan sekitar, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, anggota keselamatan yang tiba di lokasi cuba mengawal situasi dan mendapati suspek – seorang warga tempatan – bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.
“Suspek turut bertindak ganas dengan melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV, sekali gus mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam.
“Hasil tindakan pantas dan cekap polis, suspek berjaya ditahan bagi tujuan siasatan lanjut dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.
Katanya polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular video di laman sosial yang memaparkan seorang lelaki tidak berbaju bertindak mengancam seorang anggota polis dengan sebilah pisau di sebuah restoran.
- Bernama
