Sebuah binaan yang dipercayai digunakan sebagai tempat pemujaan dan memaparkan kalimah “Allah” pada dinding di Jalan Jeti Anjung Batu–Pantai Siring dijadual dirobohkan hari ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Zaidi Attan.
Menurutnya, keputusan itu dimaklumkan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Rahmad Mariman dalam satu taklimat, dengan kerja perobohan dijangka dilaksanakan petang ini.
“Tadi exco maklumkan binaan tersebut akan dirobohkan petang ini, sekitar jam 3.30 petang,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Zaidi berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini berhubung penemuan sebuah tempat pemujaan yang tertera kalimah Allah pada dindingnya hari ini.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang menyiasat penemuan tempat pemujaan berkenaan yang memaparkan kalimah Allah.
Rahmad dilaporkan berkata pemeriksaan awal mendapati binaan itu dipercayai telah wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, tulisan tersebut hanya dikesan malam tadi oleh sekumpulan pemancing, lapor Melaka Hari Ini.
Turut dilaporkan, tempat pemujaan itu dibina di Jalan Jeti Anjung Batu–Pantai Siring, tidak jauh dari Merlimau.
Selain kalimah Allah, terdapat juga tulisan “Bismillahirrahmanirrahim”, kedua-duanya ditulis dalam bahasa Arab.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Rahmad berkata pemeriksaan di lokasi sekitar jam 11.30 malam mendapati binaan tersebut terletak di kawasan hutan paya bakau berhampiran pantai dan berdekatan tanah berpagar milik individu.
Mengulas lanjut, Zaidi berkata satu pertemuan turut diadakan dengan pemilik tanah dan hasilnya, pemilik bersetuju bahawa binaan itu perlu dirobohkan.
Tambahnya, semua agensi berkaitan akan berada di lokasi bagi melaksanakan tindakan tersebut.
