Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita didenda RM2,000 miliki bahan lucah dalam telefon bimbit
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Seorang wanita dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Bachok hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan kira-kira 100 bahan pornografi termasuk video lucah dalam telefon bimbitnya pada minggu lepas.

Siti Munirah Muhamad, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.

Tertuduh didakwa memiliki sebuah telefon bimbit jenis Realme 9 yang mengandungi beberapa rakaman video lucah di sebuah rumah di Kampung Kubang Telaga di Bachok kira-kira 8 malam, 6 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norizaidah Abdul Salam.

Terdahulu, Norizaidah dalam rayuannya memohon hukuman denda kerana tertuduh merupakan seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kantin dengan pendapatan RM35 sehari.

“Tertuduh mempunyai seorang anak perempuan berusia 15 tahun dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu untuk memberi teladan baik kepada anaknya,” kata beliau.

Muhammad Aiman Syahmi memohon hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Tertuduh membayar denda tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS