Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tambang feri Langkawi naik RM10 untuk bukan pemegang MyKad
Diterbitkan:  Apr 10, 2026 5:21 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan kenaikan tambang sebanyak RM10 bagi penumpang bukan pemegang MyKad, berkuat kuasa pada 1 April lepas.

Pengurus besar syarikat itu Dr Baharin Baharom berkata pelarasan tambang berkenaan perlu berikutan peningkatan kos industri yang berterusan dan ketara yang tidak lagi mampu ditampung syarikat pengendali feri tersebut.

"Sejak beberapa tahun lepas, industri feri mengalami peningkatan ketara, khususnya bagi harga bahan api industri, penyelenggaraan, tenaga kerja dan kos pematuhan peraturan, sedangkan tambang feri Langkawi tidak mencerminkan kos operasi sebenar.

"Meneruskan operasi dalam keadaan sedemikian tidak lagi berdaya maju. Tanpa pelarasan, industri berdepan dengan risiko pengurangan perkhidmatan, gangguan operasi, cabaran kemampanan jangka panjang, yang akhirnya akan menjejaskan pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan pelarasan itu, tambang bagi penumpang bukan pemegang MyKad dari Kuala Perlis ke Langkawi ialah RM45 (sehala) bagi dewasa dan kanak-kanak pada harga RM35, manakala dari Kuala Kedah ke Langkawi, tambangnya ialah RM55 bagi dewasa dan RM42 untuk kanak-kanak.

Baharin berkata pelarasan itu tidak menjejaskan rakyat Malaysia yang memiliki MyKad kerana mengekalkan kemampuan dan aksesibiliti untuk penduduk tempatan kekal menjadi keutamaan.

Tambang bagi rakyat Malaysia tidak berubah, iaitu RM21 (dewasa) dan RM16 (kanak-kanak) dari Kuala Perlis, manakala dari Kuala Kedah tambang yang dikenakan ialah RM26.50 (dewasa) dan RM20.50 (kanak-kanak).

Tambang bagi warga emas pula berharga RM13 dari Kuala Perlis dan RM17 dari Kuala Kedah, sementara Orang Kurang Upaya (OKU) hanya perlu membayar tambang serendah RM10 dari Kuala Perlis dan RM14 dari Kuala Kedah.

Baharin berkata pelarasan itu adalah munasabah bagi penumpang bukan pemegang MyKad kerana tambang feri Langkawi jauh lebih rendah berbanding laluan pulau lain yang setara di Malaysia.

"Sebagai perbandingan, tambang feri dari Tioman ialah RM85 walaupun meliputi jarak nautika yang hampir sama. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun selepas pelarasan, tambang feri Langkawi masih berada di bawah paras pasaran semasa," katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kesinambungan operasi dan standard keselamatan, serta langkah ini penting bagi memastikan perkhidmatan feri terus beroperasi dengan selamat, boleh dipercayai dan mampan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS