Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menafikan gambar palsu di media sosial yang menuduh Mohamad Sabu menggalakkan penjawat awam menanam ganja di rumah.
Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai fitnah dan manipulasi digital.
"Kenyataan tersebut adalah fitnah dan manipulasi digital yang tidak benar serta boleh mengelirukan orang awam kerana YB menteri (Mohamad) tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Sehubungan itu, laporan rasmi telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk siasatan dan tindakan lanjut terhadap pihak yang terlibat.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan kandungan palsu serta sentiasa merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih," kata kenyataan itu yang disiarkan di Facebook Mohamad, hari ini.
Hantaran tersebut sebelum ini dikongsikan pemilik akaun Facebook Firdaus Radzi.
Akaun Facebook itu berkongsikan gambar yang dipercayai telah disunting memaparkan Mohamad dengan pokok ganja dan keterangan “Mat Sabu cadang penjawat awam mula tanam ganja di rumah susulan konflik Asia Barat”.
Susulan kenyataan dikeluarkan pejabat Mohamad, Firdaus dalam satu hantaran terbarunya di Facebook mendakwa ia hanya menemukakan gambar tersebut di internet.
"Saya pun jumpa kat internet gambar ni Bang Mat .. MCMC nak tangkap jugak ka?" tulisnya di Facebook.
