Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Karya Pablo Picasso dikait 1MDB tiba di Malaysia
Diterbitkan:  Apr 14, 2026 6:15 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhasil membawa pulang empat karya seni bernilai tinggi termasuk karya seni artis terkenal dunia Pablo Picasso yang dikaitkan dengan aset 1MDB.

Dalam satu kenyataan hari ini, badan antirasuah itu memaklumkan kesemua empat karya seni berkenaan ditempatkan dengan selamat di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

"Karya-karya seni ini merupakan sebahagian daripada aset yang berjaya dipulihkan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hasil usaha berterusan kerajaan Malaysia diterajui SPRM melalui pendekatan bersepadu melibatkan kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan tempatan dan rakan strategik antarabangsa.

"Nilai keseluruhan karya seni tersebut dianggarkan sebanyak AS$198,125.00 (anggaran RM786,556.25)," katanya kenyataan itu.

Hasil seni itu melibatkan karya artis terkenal dunia seperti, Joan Miró – Composition (1953); Maurice Utrillo – Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St. Vincent, Montmartre (1934); Balthus – Etude pour femme couchée (1948) dan Pablo Picasso – L’Ecuyere et les clowns (1961).

Sebelum ini SPRM melaporkan, empat lukisan bernilai hampir RM1 juta, termasuk karya Pablo Picasso yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB dalam perjalanan semula ke Malaysia

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, pemulangan semua lukisan bernilai tinggi itu adalah hasil perbincangan rasmi bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) di Washington DC pada Disember tahun lalu.

Karya seni tersebut merupakan sebahagian daripada koleksi lebih besar membabitkan 12 lukisan bernilai tinggi yang dikaitkan dengan kes 1MDB, dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM142 juta (AS$30 juta).

Dalam pada itu SPRM memaklumkann kesemua karya seni ini telah ditempatkan di lokasi khas dengan kawalan keselamatan yang ketat dan sedang melalui proses penstabilan persekitaran (“acclimatization”) bagi memastikan pemeliharaan optimum sebelum proses pembukaan, pengesahan dan penilaian dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).

"Pemulangan karya seni ini bukan sahaja melambangkan kejayaan berterusan Malaysia dalam mendapatkan semula aset yang diseleweng, malah memperkukuh kedudukan negara dalam pelaksanaan amalan terbaik pemulihan aset di peringkat antarabangsa.

"Sehingga kini, Malaysia telah berjaya memulihkan aset berkaitan 1MDB berjumlah kira-kira RM31.2 bilion, iaitu bersamaan hampir 70 peratus daripada keseluruhan aset yang dikenal pasti.

"Pencapaian ini merupakan satu kejayaan signifikan dan sering dijadikan rujukan serta penanda aras (benchmark) di peringkat antarabangsa dalam usaha pemulihan aset hasil jenayah kewangan berskala besar," kata kenyataan itu lagi.

Menurutnya, setiap pemulihan aset, termasuk karya seni ini, membuktikan bahawa tiada ruang selamat bagi hasil jenayah untuk disembunyikan, walaupun melibatkan rangkaian kewangan rentas sempadan yang kompleks.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS