Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Permohonan semakan Rosmah gugur hakim kes rasuah solar didengar 29 Julai
Diterbitkan:  Apr 14, 2026 8:57 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Mahkamah Persekutuan menetapkan 29 Julai ini untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyemak semula keputusan terdahulu menolak rayuannya untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang mendengar dan mensabitkan beliau dalam kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion pada 2022.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah, ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rohaiza Hamzah hari ini melalui aplikasi Zoom.

Beliau berkata mahkamah turut mengarahkan pembelaan memfailkan afidavit jawapan selewat-lewatnya 5 Mei ini manakala hujahan bertulis pada 14 Julai.

Yang turut hadir semasa pengurusan kes ialah peguam Datuk Jagjit Singh, Meor Hafiz Salehan dan Harel Nieryan bagi pihak Rosmah manakala Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mewakili pendakwaan.

Pada 3 Mac lepas, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar menolak rayuan Rosmah.

-- LAGI

MAHKAMAH-ROSMAH 2 (AKHIR) PUTRAJAYA

Panel itu memutuskan bahawa Mohamed Zaini (kini Hakim Mahkamah Rayuan) tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan draf penghakiman yang bocor telah disediakan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum beliau menyampaikan keputusan pada 1 Sept 2022.

Permohonan Rosmah untuk menggugurkan Mohamed Zaini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 1 Sept 2022 manakala rayuannya turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 Sept tahun lepas.

Rosmah, 74, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi pada saat-saat akhir sebelum Mohamed Zaini menyampaikan keputusannya atas alasan draf penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga telah bocor.

Pada hari sama, Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah disabitkan dengan kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid itu bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, dengan tambahan tempoh pemenjaraan selama 30 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu pelupusan rayuan.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS