Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Trump kata Iran mahu buat perjanjian, umum perang sudah tamat
Diterbitkan:  Apr 15, 2026 11:24 AM
Dikemaskini: 9:05 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Isnin bahawa Iran mahu membuat perjanjian dan dia tidak akan bersetuju membenarkan Tehran memiliki senjata nuklear.

Katanya, rundingan menemui jalan buntu berkaitan isu nuklear dan "sekatan" kapal yang transit di Selat Hormuz sambil mendakwa Iran ada "menghubungi pagi ini" dan "mereka ingin mengusahakan satu perjanjian," katanya yang dipetik Reuters.

"Iran tidak akan mempunyai senjata nuklear," kata Trump kepada wartawan di White House. "Kita tidak boleh membiarkan sesebuah negara membuli atau memeras ugut dunia."

Sementara itu, wartawan Fox News, Maria Bartiromo, dalam satu hantaran di Instagram berkata, Trump mengesahkan bahawa operasi ketenteraan AS terhadap Iran telah berakhir.

Dalam satu temu bual bersama Fox News, Trump turut mengumumkan bahawa pusingan kedua rundingan akan diadakan dalam beberapa hari akan datang.

Menurut Bartiromo, ketika menjawab soalan sama ada perang di Iran telah berakhir, Trump berkata bahawa ia sememangnya sudah berakhir.

"Saya baru sahaja bercakap dengan Presiden. Dia banyak bercakap mengenai ekonomi, perang dengan Iran dan Nato. Saya akan petik satu kenyataannya.

"Saya tanya dia: 'Kamu selalu cakap mengenai perang ini seolah-olah ia sudah berlalu. Adakah ia sudah berakhir?' Dia jawab: 'Sudah berakhir,'" kata wartawan itu.

Bartiromo menambah temu bual penuh bersama Trump akan diterbitkan pada Rabu.

Dalam pada itu, wartawan ABC News Jonathan Karl pada Selasa di platform media sosial menyebut Trump berkata dia tidak mempertimbangkan untuk melanjutkan gencatan senjata dengan Iran.

"Saya fikir anda akan melihat sesuatu yang menakjubkan dua hari akan datang," kata Trump, menurut Karl.

Karl berkata Trump membayangkan bahawa konflik itu boleh berakhir sama ada menerusi penyelesaian yang dirundingkan atau melalui tindakan ketenteraan yang menghapuskan keupayaan Iran.

"Ia boleh berakhir dengan salah satu cara, tetapi saya fikir perjanjian lebih baik kerana kemudian mereka (Iran) boleh membina semula (negara). Mereka benar-benar mempunyai rejim yang berbeza sekarang.

“Tidak kira apa pun, kami telah menghapuskan (pihak) radikal..." kata Trump.

Menurut Karl, Trump turut membuat "dakwaan luar biasa" mengenai peranannya di pentas global iaitu "jika saya bukan presiden, dunia akan hancur.”

Sebelum ini, Trump dilaporkan berkata pusingan kedua rundingan dengan Iran “boleh berlangsung dalam tempoh dua hari akan datang” selepas kegagalan rundingan hujung minggu lalu yang mendorong Washington mengenakan sekatan ke atas pelabuhan Iran.

Pegawai dari Pakistan, Iran dan Teluk juga berkata pasukan perunding dari AS dan Iran boleh kembali ke Pakistan lewat minggu ini, walaupun satu sumber kanan Iran berkata tiada tarikh ditetapkan.

Trump dipetik oleh New York Post sebagai berkata: "Kamu patut berada di sana, sebenarnya, kerana sesuatu mungkin berlaku dalam tempoh dua hari akan datang, dan kami lebih cenderung untuk ke sana."

Lewat Selasa di satu acara di Georgia, Naib Presiden AS JD Vance berkata Trump mahu membuat "perjanjian besar" dengan Iran tetapi terdapat banyak ketidakpercayaan antara kedua-dua negara.

JD Vance

"Kamu tidak akan menyelesaikan masalah itu dalam sekelip mata," kata Vance.

Ekonomi dunia di ambang meleset

Sementara itu, Reuters melaporkan walaupun sekatan AS mencetuskan kemarahan, namun tanda-tanda bahawa penglibatan diplomatik mungkin berterusan membantu menenangkan pasaran minyak, mendorong harga penanda aras di bawah $100 setong.

Iran secara berkesan menutup Selat Hormuz, laluan air global yang penting untuk pengangkutan minyak dan gas, sejak perang bermula pada 28 Februari. Kira-kira 5,000 orang mati dalam permusuhan itu.

Rundingan di Islamabad hujung minggu lalu tidak menghasilkan perjanjian, sebaliknya menimbulkan keraguan terhadap kelangsungan gencatan senjata dua minggu yang masih berbaki seminggu.

Cita-cita nuklear Iran merupakan titik buntu utama. AS mencadangkan penggantungan 20 tahun semua aktiviti nuklear oleh Iran, manakala Tehran mencadangkan penghentian selama tiga hingga lima tahun, menurut individu yang biasa dengan cadangan itu. AS juga mendesak supaya sebarang bahan nuklear yang diperkaya dikeluarkan dari Iran.

Satu sumber yang terlibat dalam rundingan di Pakistan berkata rundingan saluran belakang sejak hujung minggu menghasilkan kemajuan dalam merapatkan jurang itu, membawa kedua-dua pihak lebih dekat kepada perjanjian yang boleh dikemukakan pada pusingan rundingan baharu.

Tidak jelas jenis perjanjian nuklear yang boleh dipersetujui dengan cepat oleh AS dan Iran, memandangkan kerumitan perjanjian nuklear 2015 antara Tehran dan kuasa dunia yang ditarik balik oleh Trump pada 2018, serta kemungkinan keperluan untuk pemantauan dan pengesahan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.

Iran juga mahu sekatan antarabangsa ditarik balik, sesuatu yang AS tidak boleh janjikan secara bersendirian.

IMF turunkan unjuran pertumbuhan

Markas Pemerintah Pusat AS (Centcom) berkata tiada kapal yang berjaya melepasi sekatan pelabuhan Iran dalam tempoh 24 jam pertama ia dilaksanakan, manakala enam kapal dagang berpatah balik.

Centcom berkata lebih daripada sedozen kapal perang AS terlibat dalam sekatan itu, yang hanya terpakai kepada kapal yang pergi ke atau dari Iran.

Bagaimanapun, data perkapalan menunjukkan sekatan itu memberi sedikit perbezaan kepada trafik Selat Hormuz pada Selasa, dengan sekurang-kurangnya lapan kapal merentasi laluan tersebut.

Perang itu menyelubungi tinjauan keselamatan tenaga global dan bekalan barangan yang bergantung kepada petroleum.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memotong tinjauan pertumbuhannya dan berkata ekonomi global akan berada di ambang kemelesetan jika konflik bertambah buruk dan minyak kekal di atas $100 sehingga 2027.

Agensi Tenaga Antarabangsa sementara itu menurunkan ramalannya untuk bekalan minyak global dan pertumbuhan permintaan.

Sekutu Nato Amerika Syarikat termasuk Britain dan Perancis berkata mereka tidak akan diheret ke dalam konflik dengan mengambil bahagian dalam sekatan itu, walaupun mereka menawarkan diri untuk membantu mengawal selat apabila perjanjian dicapai.

China, pembeli utama minyak Iran, berkata sekatan AS adalah "berbahaya dan tidak bertanggungjawab" serta hanya akan memburukkan lagi ketegangan.

Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent mengkritik China kerana menyorok minyak semasa perang.

Penganalisis berkata harga minyak berkemungkinan kekal tinggi selama berminggu-minggu selepas selat itu dibuka semula sepenuhnya, disebabkan oleh tunggakan, infrastruktur yang rosak dan ketidaktentuan yang tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS