Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat akan menyelaras usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dari segi keperluan asas, penempatan sementara serta kebajikan mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keutamaan ketika ini ialah memastikan keselamatan mangsa dan penyaluran bantuan segera di lapangan.
"Saya berasa sedih melihat insiden kebakaran besar yang melibatkan ratusan rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan. Saya menzahirkan simpati yang mendalam kepada semua yang terkesan.
"Kehilangan tempat berteduh dalam sekelip mata pastinya satu ujian yang amat berat buat mangsa dan keluarga," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memaklumkan jentera parti berkenaan di Batu Sapi telah digerakkan bagi membantu mangsa di lokasi.
Beliau berkata bantuan itu merangkumi urusan pendaftaran di pusat pemindahan sementara dan penyaluran bantuan awal bagi meringankan beban mereka yang terkesan.
"Sama-sama kita mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini. Semoga segala urusan dipermudah," katanya.
Lebih 9,000 penduduk terjejas dalam insiden kebakaran pada awal pagi tadi namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP George Abd Rakman berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 1.30 pagi sebelum lokasi berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan bencana pada 4 pagi.
- Bernama
