Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naratif bom nuklear Iran sekadar rekaan, kata jurucakap Tehran
Diterbitkan:  Apr 24, 2026 9:44 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

GLOBAL | Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata naratif mengenai bom nuklear negara itu digunakan untuk menakut-nakutkan dunia sejak lebih dua dekad, dan menyifatkan ia sebagai rekaan politik bertujuan memberi tekanan, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

Esmaeil Baghaei dalam wawancara yang disiarkan pada Khamis menegaskan kebimbangan yang dibangkitkan berhubung program nuklear Iran tidak mempunyai asas yang nyata.

“Selama lebih dua dekad, dunia ditakut-takutkan dengan naratif bom nuklear Iran, sedangkan isu ini lebih kepada rekaan politik untuk memberi tekanan berbanding realiti.

“Namun begitu, Iran pernah mengadakan rundingan dan mencapai persetujuan khusus untuk menangani dakwaan-dakwaan itu,” katanya.

Tambah Esmaeil walaupun berlaku pencerobohan AS-Israel pada Jun tahun lalu, keputusan tetap dibuat untuk terlibat dalam proses rundingan.

Press TV melaporkan dia sebagai menegaskan, walau berlaku peristiwa pada Jun apabila AS dan Israel melancarkan perang tanpa provokasi terhadap Iran, keputusan dibuat untuk memasuki proses rundingan dan pada pusingan terakhir, persetujuan dicapai mengenai beberapa parameter utama bagi satu persefahaman awal.

Dari perspektif pihak lawan, katanya, parameter itu bertujuan menangani kebimbangan mereka, manakala dari perspektif Tehran, ia dirangka untuk menjamin hak nuklear Iran.

“Berdasarkan perkara itu, atas cadangan pihak satu lagi, dipersetujui supaya satu mesyuarat diadakan di Vienna dengan kehadiran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi membincangkan dimensi teknikal isu berkenaan.

“Itulah persetujuan bersama terakhir antara kedua-dua pihak,” katanya.

AS dan Israel memulakan serangan terhadap Iran sejak 28 Feb lalu yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran Allahyarham Seyyed Ali Khamenei, pegawai kanan Iran dan orang awam.

Angkatan tentera Iran bertindak balas dengan melancarkan operasi peluru berpandu dan dron yang menyasarkan lokasi di wilayah yang diduduki Israel serta pangkalan dan aset ketenteraan AS di seluruh rantau itu.

- Bernama/Mehr


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS