Jaguh berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang mencipta sensasi di laman sendiri selepas menjuarai acara keirin lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai, malam ini.
Azizulhasni yang diberi julukan “The Pocket Rocketman” memanfaatkan sokongan padu penyokong untuk mempamerkan kayuhan bertenaga, sekali gus muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dan menggegarkan velodrom dengan sorakan gemuruh.
Persembahan cemerlang pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyaksikan beliau menewaskan pencabar utama yang juga juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda di tempat kedua sementara wakil Trinidad Dan Tobago Nicholas Paul terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Kejayaan itu merupakan kemenangan kedua Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini selepas turut menjuarai acara sama di Perth, Australia pada Mac lepas.
Terdahulu, Azizulhasni dan Lavreysen yang menjadi tumpuan utama beraksi dalam saringan kedua pusingan kedua, dengan perlumbaan dimenangi pelumba Belanda itu, manakala Azizulhasni meloloskan diri ke separuh akhir di tempat kedua.
Dalam perkembangan sama, Emma Finucane dari Great Britain muncul juara pecut individu wanita selepas menewaskan pemegang jersi pelangi Hetty van de Wouw dari Belanda dalam perlumbaan penentuan pingat emas.
Sementara itu, wakil China Yuan Liying membawa pulang gangsa apabila menepati ramalan mengatasi Lauriane Genest dari Kanada dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa.
- Bernama
