Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim: PN sasar tawan Pahang pada PRU16

Perikatan Nasional (PN) Pahang menetapkan sasaran memenangi sekurang-kurangnya 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta menambah tiga lagi kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi PN Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man membuat pengumuman itu pada sidang media sempena program pemukiman PN Pahang di Kerdau, Temerloh.

"Ia adalah satu daripada enam resolusi diputuskan pada pemukiman hari ini.

"Resolusi ini dibuat selepas dipersetujui semua pimpinan utama parti gabungan PN di Pahang yang menyertai sesi pemukiman dan ia adalah berdasarkan perkembangan semasa politik tanah air, kita yakin sasaran PN teraju Pahang masih realistik," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

Ketika ini, PN Pahang menguasai 17 kerusi DUN dan tujuh kerusi parlimen.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi dan untuk menjadi parti pemerintah negeri memerlukan majoriti 22 kerusi.

Bersatu sebelum ini memiliki dua kerusi Parlimen — Rompin dan Indera Mahkota — sebelum Saifuddin Abdullah dipecat daripada parti itu pada awal tahun ini susulan kritikan terhadap kepimpinan.

PAS pula mempunyai wakil rakyat di Parlimen Kuantan, Temerloh, Maran, Kuala Krau dan Jerantut.

Mengulas sentimen semasa, Tuan Ibrahim berkata sokongan rakyat dilihat cenderung kepada PN susulan beberapa isu yang didakwa tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan.

"Paling ketara ialah isu kenaikan kos sara hidup, harga bahan api seperti diesel yang gagal dikawal dan rakyat secara keseluruhannya dalam keadaan marah dengan semua perkembangan ini," jelasnya.

Ditanya mengenai kerusi yang menjadi sasaran PN di Pahang, Tuan Ibrahim enggan mendedahkan butiran lanjut.

"Kerusi mana (disasarkan) kita rahsiakan dulu, tapi media bolehlah nak buat tekaan," katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, PN Pahang memenangi kerusi DUN Cheka, Tanjung Lumpur, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Tahan, Damak, Pulau Tawar, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Panching, Lepar dan Sungai Lembing.

Tuan Ibrahim turut menegaskan keutamaan gabungan itu kini untuk mempertahankan kerusi sedia ada sambil menggerakkan misi untuk menawan Pahang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS