Penganalisis politik memberi amaran kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan berpotensi mencetuskan kesan domino terhadap Pakatan Harapan (PH).
Mengulas implikasi tindakan Adun BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun, saintis politik Wong Chin Huat memberitahu Malaysiakini sebarang kesan susulan boleh mempengaruhi kemungkinan pilihan raya awal di peringkat negeri dan persekutuan.
"Bahaya (kepada PH) ialah mewujudkan duluan kerjasama Umno-PN, yang mungkin membuka jalan kepada kerjasama serupa dalam pilihan raya negeri awal di Johor dan Melaka," katanya.
Dewan Undangan Negeri Melaka akan terbubar secara automatik pada Disember tahun ini manakala pilihan raya Johor dijadualkan pada April tahun depan.

Malam tadi, BN Negeri Sembilan menyambut baik kerjasama dengan PN, berkata kedua-dua gabungan kini mempunyai jumlah Adun mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baru.
Lima Adun PN sebelum itu menyatakan kesediaan bekerjasama dengan BN, sejurus BN mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
BN melalui Umno menguasai 14 kerusi di dalam DUN dengan 36 anggota itu. PN pula memiliki tiga kerusi di bawah PAS dan dua kerusi Bersatu. Gabungan itu memberikan 19 kerusi — cukup untuk majoriti mudah.
Mengulas perkara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), P Sivamurugan berkata tindakan Umno menarik sokongan berpotensi menjejaskan kerjasama PH-BN di negeri lain.

"Negeri Sembilan boleh menjadi kes ujian. Jika tidak diselesaikan, ia mungkin menggalakkan tekanan tawar-menawar serupa di negeri seperti Perak atau Pahang di mana kiraan kerusi gabungan penting," katanya.
Di Perak, PH dan BN membentuk kerajaan negeri masing-masing dengan 24 dan sembilan Adun. Di Pahang, kerajaan negeri ditubuhkan melalui gabungan 19 kerusi BN dan 10 kerusi PH.
Bagaimanapun, Sivamurugan berpendapat isu itu boleh memberi kesan negatif terhadap persepsi awam, terutama dalam kalangan pengundi muda dan bandar.
"Mereka mungkin melihat konflik elit yang berpanjangan sebagai mengalih perhatian daripada isu sara hidup.

"Mereka lazimnya mengharapkan kecekapan pentadbiran, ketelusan dan kestabilan," katanya.
Sehaluan dengan pandangan itu, pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Syaza Shukri berkata pengundi muda mungkin antara yang tidak bersetuju dengan gerakan sulit menjatuhkan kerajaan tanpa pilihan raya.
"Saya fikir sebahagian pengundi ini mahu melihat sesuatu yang lebih konkrit untuk mewajarkan penarikan sokongan," katanya.
Dia turut membangkitkan kebimbangan berkaitan hubungan antara institusi raja dan wakil rakyat yang dipilih.

"Ini menimbulkan persoalan sejauh mana pengaruh pemimpin tradisional terhadap proses demokrasi kita," katanya.
Sementara itu, Sivamurugan berkata isu berkenaan memperlihatkan kelemahan dalam sistem sedia ada.
"Pertikaian ini menonjolkan kawasan kelabu antara kuasa adat, peranan perlembagaan dan kuasa kerajaan dipilih.
"Apabila sempadan tidak jelas, aktor politik mungkin mentafsir institusi secara terpilih hingga mencetuskan ketegangan," katanya.

Langkah Umno itu turut menerima kritikan pemimpin PH, dengan exco Pemuda PKR Jalex Lee mengingatkan kepercayaan yang rosak sukar dipulihkan.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke turut memberi amaran sebarang usaha membentuk “kerajaan pintu belakang” di Negeri Sembilan dianggap mengkhianati mandat rakyat.
Malam tadi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia akan bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pentadbiran negeri itu.
Bernama melaporkan timbalan perdana menteri turut akan bertemu 14 Adun parti itu bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakan mereka.

Pada Mei tahun lalu, puak dalam kepimpinan adat Sungai Ujong bergerak untuk menyingkirkan Datuk Undang Luak, Mubarak Thahak, dengan alasan 33 pelanggaran adat, selain laporan mengaitkan beberapa tuduhan dengan pelanggaran prinsip syariah.
Pada 17 April tahun ini, satu sidang khas Majlis Undang Yang Empat dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan diadakan. Aminuddin mendakwa majlis bersetuju menasihatkan Sungai Ujong menerima pemecatan Mubarak — tafsiran yang kemudian dipertikaikan oleh undang lain.
Aminuddin dilaporkan berkata pemecatan Mubarak berkuat kuasa pada 13 Mei 2025 mengikut mekanisme adat Sungai Ujong.
Namun, dalam perisytiharan 20 April dan kenyataan susulan, Mubarak bersama Undang Johol, Jelebu dan Rembau serta Tunku Besar Tampin mencabar dakwaan Aminuddin bahawa majlis itu secara bersama menyokong penyingkirannya.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan Rais Yatim turut mendakwa dalam mesyuarat majlis itu, tiga Undang terbabit dan Tunku Besar Tampin tidak bersetuju dengan penyingkiran Mubarak.
Katanya, pemecatan itu tidak sah kerana ketua-ketua adat utama tidak mencapai persetujuan bersama, sekali gus menimbulkan persoalan perlembagaan dan adat terhadap proses tersebut.
Persoalan juga timbul sama ada Mubarak diberi peluang mencukupi untuk mempertahankan diri terhadap tuduhan yang dihadapi dirinya.
BACA BERKAITAN:
Krisis takhta Negeri Sembilan: Undang pecat Yang di-Pertuan Besar
Kronologi krisis perlembagaan Negeri Sembilan
'Tindakan Undang turunkan Yang di-Pertuan Besar sah tapi perlu selesai dengan lunak'
