mk-logo
Berita
Akmal nafi Umno 'tebuk atap' kerajaan N9, tumbangkan PH demi pilihan raya
Diterbitkan:  Apr 28, 2026 9:58 AM
Dikemaskini: 2:40 AM

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menafikan partinya bekerjasama dengan PN untuk menubuhkan “kerajaan pintu belakang” di Negeri Sembilan.

"Saya kekal dengan prinsip saya sejak dari dulu lagi, untuk Umno tarik sokongan dari kerajaan perpaduan dan jadi pembangkang yang bermaruah ataupun kita hadapi pilihan raya bukan dengan cara menubuhkan kerajaan secara tebuk atap," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Akmal menegaskan tindakan Umno tarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan bukan untuk “menebuk atap dan gila jawatan,” tetapi kerana tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh PH.

"Apabila Adun-Adun PN boleh menyatakan sokongan kepada BN di Negeri Sembilan ini menunjukkan perkembangan yang baik untuk parti-parti Melayu ini boleh duduk bersama.

"Tetapi duduk bersama bukan menebuk atap, tetapi saya mengajak untuk sama-sama kita bekerjasama dalam pilihan raya seperti mana pendirian saya...sebelum ini untuk saya melihat kerjasama Umno dan PAS itu berlaku,” jelas Akmal.

“Sebab itu saya nyatakan sebelum ini tarik sokongan dan jadi pembangkang yang bermaruah.

"Jika menarik sokongan dan kerajaan tumbang maka kita harus melalui proses pilihan raya untuk kita serahkan semula kepada rakyat," katanya lagi.

Istilah 'kerajaan pintu belakang' sering digunakan oleh PH ketika mengkritik kerajaan gabungan PN dan BN yang bersama-sama menubuhkan kerajaan baru menerusi Langkah Sheraton walaupun mereka tewas pada PRU14.

Langkah Sheraton tercetus pada Feb 2020 apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali bersama-sama 10 ahli parlimen parti itu berpaling tadah dan menikam PH.

Sementara itu, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi ketika kempen pilihan raya umum lalu memberi jaminan bahawa sekiranya BN membentuk kerajaan istilah kerajaan 'pintu belakang' atau ’tebuk atap’ tidak akan berulang.

Semalam, 14 Adun BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

PN kemudian mengumumkan sedia bekerjasama dengan Umno melalui surat yang dihantar kepada parti itu secara serahan tangan.

PN mempunyai tiga Adun daripada PAS iaitu Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Paroi), Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) dan Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting).

Dua lagi Adun PN ialah wakil Bersatu iaitu Mohamad Hanifah Abu Baker (Labu) Ridzuan Ahmad (Gemas).

Bagaimanapun Aminuddin dalam sidang medianya petang semalam berkata dia akan terus berkhidmat seperti biasa selaku menteri besar.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula berkata Negeri Sembilan tidak dijangka mengadakan pilihan raya negeri di tengah kemelut pemerintahan yang berlaku ketika ini.

Namun, pengerusi PH itu menjelaskan ia bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta persidangan dewan undangan negeri (DUN).

Dalam perkembangan berkaitan, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membidas Akmal kerana pemahaman yang lemah terhadap asas demokrasi berparlimen apabila menolak penubuhan kerajaan 'tebuk atap'.

"Bro, apabila seorang menteri besar atau perdana menteri kehilangan sokongan majoriti, dia perlu meletak jawatan.

"Tiada apa-apa yang bersifat pintu belakang tentang perkara itu. Begitulah cara sistem Westminster berfungsi.

"Jika menteri besar masih merasakan dia mempunyai mandat, dia boleh memohon pembubaran dewan.

“Dia tidak sepatutnya terus bergantung kepada pihak lain," kata Zaid mengulas kenyataan ketua Pemuda Umno itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS