Adun Sikamat, Aminuddin Harun, akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan berdasarkan titah Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhrih Tuanku Munawir.

Menurut laporan perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, hari ini.

Katanya, Aminuddin diminta meneruskan tugas menteri besar atas titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.

Menurut Anwar, titah Tuanku Muhriz itu disampaikan ketika dia menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan semalam.

“Semalam saya menghadap Tuanku Muhriz dan menjunjung kasih atas pertimbangan baginda, untuk pertamanya, atas titah baginda supaya Aminuddin meneruskan tugas sebagai menteri besar demi kepentingan negeri dan kebajikan rakyat.

“Keputusan setakat ini, dengan titah Tuanku yang saya dengar semalam, kerajaan negeri harus berjalan seperti biasa sehingga ada keperluan untuk membawa apa-apa perubahan," katanya dipetik Bernama.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, setakat ini dia meminta Aminuddin berkhidmat seperti biasa dan proses undang-undang tidak menghalangnya.

Katanya institusi raja atau undang juga tidak disentuh sebaliknya dimuliakan.

Anwar ditemui media selepas menghadiri sesi Temu Anwar dan pelancaran projek pembinaan bangunan baru Universiti UCSI Kuala Lumpur hari ini.

Anwar juga berkata kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan tidak mewujudkan sebarang implikasi lain atau menggugat kestabilan kerajaan perpaduan.

Malah, dia menjangkakan untuk bertemu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan perkembangan isu tersebut.

“Setakat ini tidak timbul isu bubar...yang setakat saya bincang, minta pandangan, nasihat Tuanku, dia (Aminuddin) diminta jalan terus (tugas Menteri Besar) sementara proses yang lain itu dijalankan ikut undang-undang,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu juga meminta orang ramai agar tidak membuat andaian mengenai kemelut berkenaan.

Sebaliknya perdana menteri meminta semua pihak memberikan ruang rundingan dijalankan dengan baik.