ULASAN | Tiada kuasa ajaib mengubah 'pengganas rumah tangga'
ULASAN | Setiap kali berita berkaitan keganasan rumah tangga tersiar di media, ada semacam rasa pilu yang mendalam muncul. Bersekali dengan rasa itu ialah bimbang dan geram.
Sebelum kita pergi berbicara isu ini dengan lebih jauh, perlu digahami fahami apakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga.
Perkataan "ganas" didefinisikan antara lain sebagai galak, beringas, tidak mempunyai belas kasihan, tidak menunjukkan belas kasihan, tidak berperikemanusiaan, kejam, dan liar.
Ia juga merujuk kepada perlakuan suka melawan, selain mabuk, gila dan suka merosakkan harta benda orang.
Rumah tangga pula didefinisikan oleh kamus sebagai situasi berkahwin dan segala hal yang bersangkutan dengan urusan rumah.
Ringkasnya bolehlah dikatakan bahawa keganasan rumah tangga sebagai tindakan ganas seseorang terhadap isteri atau suami yang boleh menyebabkan berlakunya kecederaan fizikal, mental dan juga spiritual.
Beberapa hari lalu berlaku lagi kes keganasan rumah tangga. Kali ini di Sungai Petani, Kedah. Seorang isteri dibelasah suaminya hingga cedera dan mengalami keguguran.
Apa yang memilukan, suspek didakwa merupakan orang yang sama terlibat dalam kes keganasan sama sebelum ini - tetapi melibatkan mangsa yang berbeza.
Terhukum dengan trauma berpanjangan
Kes terdahulu berlaku pada Mei 2021 melibatkan seorang wanita hamil yang dibelasah sehingga koma. Bayi tersebut kemudian dilahirkan ketika si ibu tidak sedarkan diri. Si anak disahkan berstatus orang kurang upaya.
Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 9 Dis 2024 kemudian mensabitkan kesalahan ke atas pelaku dan dihukum penjara 10 tahun. Dia kemudian merayu dan pelaksanaan hukuman ditangguhkan dengan ikat jamin sebanyak RM25,000.
Dia juga dikehendaki melaporkan diri ke balai polis dari semasa ke semasa.
Pada 4 Nov 2025 pula, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan hukuman penjara 10 tahun yang ditetapkan sebelum itu, dan pada masa sama membenarkan penangguhan kerana pelaku membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan.
Dua peringkat mahkamah telah memutuskan lelaki terbabit bersalah.
Adakah lelaki terbabit benar-benar individu yang sama melakukan keganasan rumah tangga di Sungai Petani?
Setakat ini belum ada tangkapan dibuat, tetapi ada pihak yang mendakwa begitu. Polis pula memberitahu suspek yang diburu merupakan individu yang pernah disabitkan bersalah oleh mahkamah pada 2021.

Kes yang terjadi di Sungai Petani itu disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Kesiksaan.
Apa yang diperuntukkan di bawah seksyen tersebut? Ia berkaitan kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera parah dan jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Ia adalah kesalahan serius yang melibatkan kecederaan berat, termasuk yang menyebabkan koma atau kecacatan kekal.
Ya, hukuman yang tersedia mengikut undang-undang ialah maksimum tujuh tahun, manakala mangsa keganasan berada dalam keadaan trauma yang berpanjangan.
Itu tidak lagi termasuk komplikasi lain yang ditanggung seperti kesan keguguran, impak mental dan kecederaan lain yang ditanggung mangsa.
Patut dikeji oleh semua
Bagaimana nasib mangsa dera? Media melaporkan mangsa lelaki terbabit dipukul dengan teruk menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu.
Dalam Islam, falsafah undang-undang dan tujuannya ialah untuk mengawal lima perkara mutlak yang menjadi tunjang bagi kesejahteraan dan keamanan seluruh umat manusia.
Ia dinamakan al-kulliyat al-khams. Lima perkara mutlak itu ialah mengawal agama, mengawal jiwa, mengawal akal fikiran, mengawal harta benda dan keturunan.
Dengan terkawalnya kelima-lima perkara asasi tersebut barulah terjamin keselamatan peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya.
Apabila seseorang suami mendera isterinya, dia telah merosakkan agama, jiwa, akal fikiran, harta benda dan keturunan sendiri. Dia perlu dihukum lebih lama.
Hukuman 10 tahun dan tujuh tahun terlalu kecil untuk kesalahan yang begitu keji. Justeru kita berharap kes-kes seumpama itu perlu diberikan hukuman yang lebih berat termasuk sebatan.
Mangsa kes di Sungai Petani itu dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim dan dipercayai dia akan mengalami trauma yang berpanjangan. Itu adalah kes yang sewajarnya dikeji oleh seluruh rakyat Malaysia.

Kes keganasan rumah tangga kini semakin meningkat dan membimbangkan, dengan 3,768 kes direkodkan sehingga Jun 2025 dan melibatkan mangsa berusia antara 36 hingga 45 tahun.
Selangor misalnya merekodkan 503 kes antara 2023 hingga April 2026. Kes-kes serius itu termasuk mendera isteri hamil sehingga keguguran dan trauma fizikal/mental.
Dalam Undang-Undang Islam perbuatan menganiaya dan mendera disebut sebagai dharar syar’ie yang bermaksud bahaya ke atas agama, nyawa, nasab, tubuh badan, kehormatan, akal fikiran atau harta seseorang.
Dalam kaedah fiqh, sebarang kemudharatan atau bahaya harus dihilangkan. Dalam erti kata lain, berdasarkan konsep tersebut, pemerintah perlu memikirkan kaedah mengekang perbuatan mendera.
Adakah boleh kesalahan mendera mampu dihilangkan dengan hukuman penjara 10 dan tujuh tahun?
Bukan sekadar fizikal
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain".
Ia adalah prinsip asas Islam untuk mencegah bahaya, melindungi keselamatan, dan mengelakkan perbuatan yang menzalimi diri atau orang lain dalam semua aspek kehidupan.
Malangnya kes keganasan rumah tangga semakin meningkat pula di Malaysia dan ia memberi isyarat bahawa kita sudah gagal menangani peningkatan berkenaan.
Kita perlu satu undang-undang yang tegas dan orang ramai memainkan peranan membawa kes-kes penderaan yang ada dalam pengetahuan mereka kepada polis.
Jika mengambil sikap enggan 'menjaga tepi kain orang' gejala tersebut tidak akan dapat dikawal dan masyarakat gagal memainkan tanggungjawab mencegah kemungkaran.
Kemungkaran bukan sekadar melibatkan kes khalwat. Keganasan rumah tangga juga adalah antara kemungkaran besar yang perlu dicegah kerana melanggar prinsip dalam Islam iaitu untuk membina suasana sakinah (tenang dan damai) mawaddah (berkasih sayang) dan rahmah.

Rumah tangga yang penuh dengan caci-maki dan keganasan tidak pernah berkat, stabil atau tidak harmoni.
Perlu diingat - keganasan rumah tangga bukan sekadar melibatkan fizikal. Memaki hamun juga sejenis keganasan kerana ia menyebabkan kecederaan pada mental pasangan.
Justeru kepada pasangan yang bercinta atau sudah bercerai tetapi bercadang berkahwin semula, perhatikan dengan teliti tingkah laku pasangan anda.
Jika ada ciri-ciri panas baran, tinggalkan saja dia. Anda tidak ada kuasa ajaib untuk mengubah mereka.
Percayalah, berdasarkan pengalaman saya selama lebih 20 tahun bergelumang dengan kes-kes keluarga Islam, mengubah seseorang pendera adalah sesuatu yang sangat mencabar.
Ada isteri yang cuba bersabar dengan suami pendera sehingga berbelas tahun namun korban yang terbesar ialah mental dan fizikal mereka sendiri.
Kepada pemilik audio siar popular, janganlah angkat penjenayah dengan menjemput mereka ke studio anda kononnya untuk menjelaskan betapa baik dan lemah lembutnya mereka.
Anda sebenarnya menjadi antara penyumbang kepada merebaknya jenayah keganasan rumah tangga. Anda patut memberi tumpuan kepada mangsa, bukannya pelaku jenayah.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah beramal di Brunei selama 24 tahun.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/2bf2985a819b849a7baca11b92cc4251.jpg)
