Parti Keadilan Rakyat (keADILan) menggesa kuat kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran, supaya mengkaji semula rancangannya untuk mengubah buku teks bagi mata pelajaran Bahasa/ Sastera di sekolah-sekolah mulai tahun 2010.

Timbalan Presidennya, Dr Syed Husin Ali berkata, sudah dilaporkan dalam akhbar bahawa kerajaan bercadang untuk menggugurkan karya-karya terkenal oleh semua Sasterawan Negara dan pemenang SEAWrite Award dan menggantinya dengan karya-karya penulis yang belum mendapat pengiktirafan dari masyarakat mahupun juga kerajaan.

"Jika laporan media ini benar, maka nyata sekali kerajaan tidak bertindak bijak dan kami sangat-sangat kecewa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Kami tidak menganggap semua teks yang dipilih mesti terbatas kepada karya penulis "established" saja.

"Karya-karya mereka mesti diteruskan di samping mengambil juga karya-karya baru yang baik walaupun belum begitu terkenal," kata Syed Husin.

Bahkan, tambahnya, harus ditimbangkan juga karangan-karangan penulis bukan Melayu tetapi warga Malaysia yang diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.

Syed Husin berkata, yang sangat mengecewakan ialah apabila semua karya dan sasterawan yang sudah diiktiraf, digugurkan dan digantikan sepenuhnya oleh mereka yang belum mendapat pengiktirafan lagi.

'Penulis picisan'

"Lebih-lebih lagi jikalau mereka yang dipilih sebagai pengganti itu dianggap hanya sebagai penulis-penulis picisan yang menghasilkan karya-karya picisan juga," tambahnya.

Menurutnya, bahasa yang digunakan oleh penulis-penulis terkenal seperti Usman Awang dan Samad Said sangat baik dan halus, dan boleh menjadi contoh.

"Semua hasil karya Sasteawan Negara sering memanifestasikan nilai serta unsur budaya dan boleh membantu pembaca lebih memahami masyarakatnya sendiri.

"Mereka membicarakan soal-soal kemasyarakatan yang boleh menimbulkan kesedaran dan tanggungjawab di kalangan pelajar," katanya.

Syed Husin berkata di negara manapun, selalunya teks yang digunakan untuk kursus-kursus sastera mereka, sama ada di peringkat sekolah atau universiti, adalah hasil-hasil terkenal yang sudah dianggap sebagai klasik.

"Rancangan kerajaan hendak menggugurkan semua penulis serta karya sastera yang terulung di negara ini, membuktikan bahawa mereka yang patut bertanggungjawab, tidak melakukan tanggungjawab dan tersangat buta budaya," tambahnya.

.