Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan 'tebuk atap', hanya tuntut jalan betul - ketua Wanita Umno NS
Diterbitkan:  May 4, 2026 3:28 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Keputusan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun, bukanlah satu percubaan merampas kuasa, sebaliknya berpaksikan kepada isu prinsip dan kedaulatan institusi negeri.

Ketua Wanita Umno Negeri Sembilan, Bibi Sharliza Mohd Khalid, menegaskan bahawa pendirian sayap tersebut kekal konsisten dan tidak pernah berganjak daripada keputusan asal.

Dia menjelaskan, tindakan itu diambil susulan kebimbangan mengenai tadbir urus kerajaan negeri yang dilihat telah menyentuh sensitiviti institusi diraja serta adat perpatih di Negeri Sembilan.

Bibi Sharliza yang juga Adun Juasseh menolak persepsi pihak tertentu yang melabelkan gerakan itu sebagai agenda 'tebuk atap' atau cubaan mencari kepentingan politik semata-mata.

"Ini bukan soal 'tebuk atap'. Ini soal keyakinan, keabsahan kepimpinan, tertib pentadbiran, adat dan perlembagaan Negeri Sembilan.

"Umno tidak mencari jalan belakang, sebaliknya menuntut jalan yang betul," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataannya itu selari dengan pendirian Pengerusi Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, Sabtu lalu yang menyatakan bahawa isu sensitiviti institusi adat dan raja merupakan faktor utama yang mendorong tindakan drastik tersebut.

Mengulas lanjut, Bibi Sharliza menekankan bahawa kestabilan sesebuah kerajaan tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kelemahan kepimpinan atau mengelak daripada sifat pertanggungjawaban.

Baginya, integriti Umno akan lebih teruji sekiranya parti itu memilih untuk berdiam diri ketika asas-asas penting negeri dipersoalkan.

"Nama baik Umno tidak tercalar apabila kita bersuara demi prinsip. Sebaliknya, ia hanya akan tercalar jika Umno membisu apabila adat, perlembagaan negeri, dan tata kelola pentadbiran mula terjejas.

"Sehubungan itu, saya menegaskan pendirian kami menjunjung adat, pertahankan perlembagaan negeri," katanya," katanya.

Kemelut politik ini dijangka akan dibincangkan dengan lebih mendalam melalui pertemuan Biro Politik Umno dan Pakatan Harapan (PH) yang dijadualkan berlangsung minggu ini.

Fokus utama rundingan tersebut adalah untuk mencari jalan keluar terbaik, termasuk kemungkinan mempertimbangkan peralihan jawatan menteri besar kepada pemimpin lain daripada PH bagi mengembalikan kestabilan.

Setakat ini, Aminuddin yang merupakan naib presiden PKR sedang menerajui kerajaan minoriti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS