Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu ladang babi: PM sembah maklum pendirian k’jaan pada Sultan Selangor
Diterbitkan:  May 6, 2026 6:01 PM
Dikemaskini: 11:59 AM
1

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyembah maklum pendirian Putrajaya berhubung syarat ketat bagi pembukaan ladang penternakan babi di Selangor semasa menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, Anwar memberi taklimat kepada kabinet mengenai sesi menghadap tersebut yang turut disertai oleh Menteri Besar Amirudin Shari.

Fahmi Fadzil

“Kerajaan persekutuan mengambil pendirian bahawa sebarang kawasan penternakan khinzir hanya boleh dilaksanakan di kawasan-kawasan baharu yang terletak jauh dari kawasan perumahan atau sumber kritikal seperti aliran air, sungai dan sebagainya.

“Ia juga (mesti) berserta dengan penggunaan teknologi tinggi yang mampu mengurus isu sisa dan pencemaran dengan sangat baik,” kata Fahmi dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Langkah itu diambil bagi memastikan aktiviti penternakan tidak menjejaskan kualiti hidup penduduk setempat serta memelihara sumber air daripada pencemaran sisa ternakan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah

Sebelum ini, pada 10 Februari lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan pendirian tidak berkenan jika ada mana-mana kawasan di negeri itu dijadikan tempat penternakan babi, atas alasan pencemaran dan sumber tanah yang terhad.

Sebaliknya, Baginda menyarankan agar kerajaan memberi lesen pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Selangor.


BACA LANJUT: PANDUANKINI l Meneliti pertikaian ladang babi di Selangor


Sehari sebelum titah diraja itu dikeluarkan, Anwar berkata campur tangan Putrajaya dalam projek penternakan babi di Selangor tiada kaitan dengan usaha menyekat hak penganut bukan Islam yang memakan daging babi.

Sebaliknya, perdana menteri berkata isu tersebut berkaitan dengan kebimbangan terhadap alam sekitar dan kebersihan, serta keresahan umat Islam dan pihak lain yang tidak memakan daging babi.

Dalam ucapannya itu, Anwar berkata kebimbangan terhadap penternakan khinzir bukan hanya terhad kepada umat Islam.

Mengingat kembali pengalamannya tinggal di Pulau Pinang, Anwar berkata dia pernah mempunyai jiran berbangsa Cina yang memakan daging babi tetapi tidak mahu ladang itu berhampiran rumahnya kerana masalah kebersihan dan bau.

Susulan titah Sultan Selangor, Amirudin mendedahkan bahawa kerajaan negeri telah berhenti mengeluarkan lesen penternakan babi sejak Januari, manakala penutupan ladang sedia ada akan dipercepatkan.

Tuduhan menderhaka

Bulan lalu, anggota Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan dari DAP, Wong Siew Ki berhadapan kritikan hebat daripada pihak tertentu selepas dia menggesa kerajaan Selangor menimbang semula pendekatan terhadap penternakan babi, termasuk meneroka sistem moden dan terkawal.

Wong Siew Ki

Dia dituduh "biadab dan menderhaka", dengan pengkritik berhujah bahawa cadangannya merupakan satu penghinaan terhadap titah Sultan.

Sehari selepas perbahasannya mengenai titah diraja, kekecohan tercetus di dewan undangan negeri Selangor selepas wakil Perikatan Nasional cuba mengemukakan usul tergempar untuk merujuk Wong ke prosiding tatatertib.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar turut mengetuai protes di pejabat Wong, manakala Ketua Penerangan BN Selangor, Jamal Yunos mencadangkan agar Adun itu keluar dari Selangor jika tidak mahu akur dengan titah Sultan Sharafuddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS